Lal Salaam lakonan Rajnikanth gabung elemen perpaduan menerusi sukan

Filem Tamil aksi sukan ‘Lal Salaam’ yang mula ditayangkan di seluruh dunia pada 9 Februari, menggabungkan elemen perpaduan menerusi sukan kriket, dengan penampilan khas bintang terkemuka India, Rajinikanth menjadikannya lebih menarik lagi.
Filem Tamil aksi sukan ‘Lal Salaam’ yang mula ditayangkan di seluruh dunia pada 9 Februari, menggabungkan elemen perpaduan menerusi sukan kriket, dengan penampilan khas bintang terkemuka India, Rajinikanth menjadikannya lebih menarik lagi.
A
A
A

FILEM Tamil aksi sukan ‘Lal Salaam’ yang mula ditayangkan di seluruh dunia pada 9 Februari, menggabungkan elemen perpaduan menerusi sukan kriket, dengan penampilan khas bintang terkemuka India, Rajinikanth menjadikannya lebih menarik lagi.

Filem arahan anak perempuan Rajnikanth, Aishwarya, ia menyelami kompleksiti perpaduan kaum yang terjalin menerusi sukan kriket secara spesifiknya di sebuah pekan kecil di barat Tamil Nadu.

Tema utama filem ini berterusan dipaparkan menerusi lakonan hebat Rajnikanth sebagai seorang bapa yang mahu melihat melihat anaknya berjaya mewakili India dalam sukan kriket.

Bernama atas jemputan MSK Cinemas Sdn Bhd turut menonton tayangan perdana filem itu pada 9 Februari, mendapati naratif filem itu dilayarkan secara nuansa, tersirat dan menyelitkan sekilas suasana kehidupan penduduk pekan itu yang berhadapan dengan ketegangan masyarakat akibat agenda politik.

Dengan lakon layar yang mencetuskan ketegangan, ia seringkali membawa penonton menghayati sepenuhnya watak-watak dalam filem itu.

Elemen menonjol dalam filem ini ialah persaingan antara Thirunavukkarasu (Vishnu Vishal) dan Samsudheen (Vikranth), seteru zaman kanak-kanak yang terbawa-bawa permusuhan itu ke gelanggang padang, sehingga memecahbelahkan penduduk kampung.

Permulaan ‘Lal Salaam’ menjadi asas untuk membiasakan penonton dengan permasalahan penduduk kampung itu dan kemudiannya momentum naratif filem itu meningkat, kemunculan watak Rajinikanth yang memberikan filem itu arah baharu.

Perwatakan Rajinikanth sebagai Moideen Bhai, seorang pemimpin beragama Islam memperjuangkan aspirasi anaknya, dalam masa yang sama membawakan keharmonian dalam komuniti, amatlah terpuji.

Artikel Berkaitan:

Penjiwaan dialognya yang bersemangat menusuk ke hati, membawakan sentimen perpaduan dan patriotisme yang memukau penonton.

Lakonan Vishnu Vishal dan Vikranth yang baik, membawakan watak pemain kriket terperangkap dalam konflik sosio-politik lebih besar. Skor muzik filem gubahan legenda AR Rahman, memberikan dimensi tambahan kepada filem itu.

Pengarah Aishwarya yang kembali dalam pembikinan filem selepas berehat lapan tahun, berjaya menyampaikan naratif yang tepat pada masanya dan relevan dalam landskap sosio-politik hari ini.

Walaupun plot tertentu mungkin boleh diperjelaskan lagi dan beberapa adegan boleh diperkemaskan, namun secara keseluruhannya mesej perpaduan berjaya dibawakan dengan baik.

Pada dasarnya, ‘Lal Salaam’ menjanjikan sebuah drama sosial yang menyayat hati, penuh dengan mesej dan lakonan yang memukau.

Penonton akan terpesona dengan lakonan Rajinikanth dan penceritaan mengenai kriket, kepercayaan dan usaha mencapai keharmonian di tengah-tengah perpecahan masyarakat.

Seperti yang ditegaskan oleh Moideen bhai dalam filem itu "kemanusiaan mengatasi segalanya” - sesuatu yang akan diingati penonton selepas filem itu tamat.

Sementara itu, Saradha Sivalingam Pengarah Urusan MSK Cinemas Sdn Bhd selaku pengedar filem ‘Lal Salaam’ di Malaysia, menyatakan bahawa filem itu ditayangkan di 73 skrin di Malaysia dan telah memperoleh lebih RM2 juta dalam tempoh empat hari selepas tayangannya.

Beliau berkata perkara itu mungkin disebabkan oleh peminat Rajinikanth yang ramai di Malaysia yang menjadi lokasi pengambaran adegan filemnya Kabali. - Bernama