Selangor rekod nilai pelaburan RM41.5 billion hingga September 2023

Industri hartanah mencatatkan sektor perkhidmatan yang paling signifikan tahun lalu adalah dengan nilai pelaburan RM13.48 bilion. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ng Sze Han)
Industri hartanah mencatatkan sektor perkhidmatan yang paling signifikan tahun lalu adalah dengan nilai pelaburan RM13.48 bilion. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ng Sze Han)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM41.5 bilion membabitkan pelbagai sektor bagi tempoh suku ketiga sehingga September pada tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han ketika dihubungi berkata, nilai pelaburan itu disumbang sektor perkhidmatan sebanyak RM24.6 bilion dan sektor pembuatan RM16.9 bilion.

Jelasnya, sektor perkhidmatan yang paling signifikan tahun lalu adalah industri hartanah dengan RM13.48 bilion, diikuti komunikasi maklumat sebanyak RM5.41 bilion dan utiliti sebanyak RM1.9 bilion.

“Bagi sektor pembuatan pula, penyumbang terbesar adalah industri elektrik dan elektronik dengan RM9.75 bilion, produk fabrikasi keluli (RM2.65 bilion), dan plastik sebanyak RM1.18 bilion,” katanya kepada Sinar Harian.

Sze Han turut optimis kerajaan negeri mampu untuk mencapai sasaran nilai pelaburan ditetapkan sebanyak RM45 bilion bagi tahun 2023 susulan peningkatan ketara bagi sektor pembuatan.

Jelasnya, pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun lalu merekodkan RM12.5 bilion manakala pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM4.4 bilion.

“Kita ada tiga bulan lagi dan saya yakin kita mampu mencapai sasaran sebanyak RM45 bilion seperti yang ditetapkan sebelum ini berdasarkan momentum yang memberangsangkan,” katanya.

Kerajaan negeri menyasarkan nilai pelaburan berjumlah RM45 bilion pada tahun lalu, membabitkan sektor pembuatan sebanyak RM12 bilion dan sektor perkhidmatan sebanyak RM32 bilion.

Artikel Berkaitan: