Kerajaan usaha capai keseimbangan pelaburan asing, domestik - Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk mencapai keseimbangan baik antara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang di seluruh negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mendengar seruan lantang oleh industri untuk terus mempromosikan DDI dan amat menyedari keperluan untuk terus memacu pertumbuhannya.

"Kerajaan telah menetapkan DDI sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mengembangkan jumlah pelaburan negara memandangkan potensi strategik DDI dalam menarik lebih banyak FDI di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI,” katanya menerusi ucap tama beliau pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-55 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar berkata, DDI strategik berpotensi untuk menarik lebih banyak FDI kerana pelabur asing biasanya menganggap ia sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar kerajaan untuk mengukuhkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.

"Memiliki ekosistem industri domestik yang lebih strategik adalah penting untuk menjana pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang lebih mampan dan dengan itu usaha yang lebih komprehensif akan dilaksanakan untuk meningkatkan DDI.

"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan terus memainkan peranan penting untuk memacu pelaburan DDI dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, seperti elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi digital dan aeroangkasa," katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa komuniti pembuatan Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong rangka kerja Ekonomi MADANI dan mencapai sasaran yang ditetapkan untuk 10 tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Antara lainnya adalah menjadi peneraju ekonomi Asia, menduduki tangga 30 teratas ekonomi terbesar dunia, berada di kedudukan 12 teratas dalam daya saing global, meningkatkan bahagian pendapatan tenaga kerja untuk mencapai 45 peratus dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 60 peratus.

"Secara ringkasnya, sektor pembuatan berfungsi sebagai enjin pertumbuhan utama untuk memacu fasa perkembangan ekonomi negara yang seterusnya.

"Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang merupakan komponen utama Ekonomi MADANI bertujuan untuk menggiatkan semula sektor pembuatan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah cabaran yang semakin meningkat dan perubahan besar yang berlaku sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga menyeru industri untuk mengukuhkan kerjasama mereka dalam ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan melibatkan diri dalam lebih banyak inisiatif yang dipacu industri seperti inisiatif Akademi dalam Industri ke arah membina kumpulan tenaga kerja mahir tempatan. - Bernama.