'Presiden Pas 'tunggang' isu keputusan petisyen Nik Elin' - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ‘menunggang’ isu berkaitan pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan demi kepentingan politik.

Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Ahli Parlimen Marang itu cuba memberi bayangan bahawa pelbagai pindaan undang-undang sejak kebelakangan ini telah meninggalkan syariat Islam.

“Melalui tulisan dalam segmen Minda Presiden Pas, beliau turut memberi sindiran kepada para hakim dengan melabelkan kewujudan hakim yang 'bijaksini', bukan bijaksana.

“Sudah tentu Abdul Hadi cuba menunggang isu berkaitan pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial, Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan yang memutuskan sebanyak 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, beliau tidak terkejut jika Abdul Hadi tidak mengetahui isu berkenaan kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut gagal untuk memahaminya.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas mengenai Perlembagaan sebagai undang-undang penjajah, Nik Nazmi menegaskan, perundangan itu yang telah memelihara Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin hak penganut agama dan kepercayaan lain.

“Sesuatu yang tidak disentuh Hadi adalah kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam pada awal Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

“Jawatankuasa ini diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai oleh 10 ahli jawatankuasa yang lain.

“Sudah tentu jawatankuasa ini membantu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nik Nazmi yakin bahawa Abdul Hadi dan Takiyuddin sengaja bertindak seolah-olah tidak memahami isu itu untuk menimbulkan ketakutan umat Islam demi kepentingan sempit mereka.

Tegas beliau, Pas harus berhenti mengelirukan rakyat dengan menghina Perlembagaan yang telah menjadi asas kepada pembinaan Malaysia.

“Mempergunakan isu teknikal undang-undang untuk kepentingan politik, terutamanya berkaitan perihal agama adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

“Kempen seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan kebencian dalam kalangan masyarakat dan tidak akan membawa Malaysia lebih maju ke hadapan,” katanya.