Jawatankuasa Khas Undang-Undang Islam perlu syor naik taraf Akta 355

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) perlu mengesyorkan cadangan menaik taraf Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara saranan penting adalah menaikkan had hukuman denda maksimum di bawah akta tersebut daripada RM5,000 kepada RM100,000.

“Kali terakhir dipinda Akta 355 ini ialah 1984 iaitu antara lainnya menaikkan hukuman daripada had denda maksimum RM1,000 kepada RM5,000.

“Setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 memandangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah,” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.

Pada Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Anggota Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Dalam pada itu, ujar Asyraf, kekangan sistem perundangan dari segi had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah turut menyebabkan ketidakadilan kepada kaum wanita.

Menurutnya, kes-kes melibatkan penafian hak ke atas wanita yang menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila ditinggalkan suami kerana kahwin lain dan sebagainya merupakan antara contoh berkaitan akta tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri.

“Ini contoh ketidakadilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah,” ulasnya.