PDC bangunkan tiga taman perindustrian bernilai RM3.2 bilion

Kon Yeow (dua dari kanan) menunjukkan pelan perancangan pembangunan taman-taman perindustrian milik PDC pada sidang akhbar di pejabatnya.
Kon Yeow (dua dari kanan) menunjukkan pelan perancangan pembangunan taman-taman perindustrian milik PDC pada sidang akhbar di pejabatnya.
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang membangunkan tiga taman perindustrian baharu di daerah Seberang Perai Selatan melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM3.2 bilion.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tiga taman tersebut ialah Bandar Cassia Technology Park (BCTP) seluas 154.6 hektar, Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) seluas 251.7 hektar dan Penang Science Park South (SPSP) seluas 70.4 hektar.

Menurutnya, ketiga-tiga taman perindustrian tersebut merupakan kawasan yang mula dibangunkan pada 2022 dan dijangka lengkap sepenuhnya pada 2031.

"Sehingga kini, sebanyak sembilan taman perindustrian dengan 2,468.6 hektar telah berjaya dibangunakan oleh PDC antaranya Taman Perindustrian Bayan Lepas, Taman Perindustrian Seberang Jaya, Taman Perindustrian Perai, Taman Perindustrian Bukit Minyak, Penang Science Park (PSP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP).

"Taman-taman perindustrian PDC ini menempatkan 350 syarikat multinasional dan syarikat tempatan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi PDC berkata, PDC selain terlibat dalam pembangunan kawasan perindustrian, PDC turut menumpukan dalam pembangunan perumahan, komersial, infrastruktur, logistik dan kemudahan awam.

"Ia merupakan pelengkap terhadap ekosistem sektor perindustrian di Pulau Pinang. Hakikatnya, keseimbangan dalam penyediaan semua komponen tersebut secara berterusan memerlukan komitmen pelaburan yang tinggi bagi PDC.

"PDC akan terus memfokuskan usaha untuk memacukan pertumbuhan ekonomi negeri supaya dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan, membuka peluang perniagaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tanah seluas 226.5 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) di Byram yang sebelum ini menjadi kontroversi telah dibuka tender prakelayakan Request For Proposal (RDP) bermula 8 Februari lalu.

"Tender tersebut telah disiarkan dalam laman sesawang PDC serta diiklankan bagi tempoh enam minggu iaitu sehingga 21 Mac lalu dengan kadar harga dokumen prakelayakan RM1,000.

"Selaras dengan tujuan pengambilan balik tanah di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 iaitu untuk tujuan awam (perindustrian dan pembangunan bercampur), PDC akan terlibat secara langsung dalam pembangunan BKIP2," katanya.

Kata Kon Yeow lagi, Fasa 1 BKIP2 akan dibangunkan melalui kaedah perkongsian strategik.

"Bagi memastikan Pulau Pinang sentiasa mempunyai tapak-tapak industri yang boleh ditawarkan kepada pelabur, BKIP2 akan dibangunkan semula.

"Kawasan yang dimaksudkan merupakan kawasan pengambilan tanah PDC melalui kerajaan negeri ke atas tanah milikan persendirian dan sama sekali tidak melibatkan mana-mana kawasan milik Sime Darby Plantation (SDP)," katanya.

Sebelum ini, Lembaga PDC telah menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd susulan perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land Sdn Bhd dalam isu pembelian tanah di Byram, Batu Kawan.

Menurut PDC, perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land Sdn Bhd itu juga disifatlan sebagai satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Oleh yang demikian, selepas penamatan kontrak, PDC diarahkan untuk mengiklankan secara meluas dengan menggunakan pelbagai saluran media massa melalui RFP.