Pemandu bas 'tunjuk lagak' di lorong kanan

Penguat kuasa melakukan pemeriksaan pada bas ekspres di Terminal 1, Seremban.
Penguat kuasa melakukan pemeriksaan pada bas ekspres di Terminal 1, Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Memandu di lorong kanan secara berterusan merupakan kesalahan paling banyak dilakukan pemandu bas sepanjang Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina kali ini.

Kesalahan itu dikesan hasil penyamaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai penumpang bagi memastikan pemandu bas lebih bertanggungjawab mematuhi peraturan dan undang-undang.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam tempoh operasi bermula 1 Februari lalu sehingga Selasa, seramai 24 pemandu bas diambil tindakan dan 64 saman dikeluarkan.

"Selain pemeriksaan secara rutin di terminal, kita turut melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi perjalanan ke terminal utama seluruh negara.

"Sehingga 13 Februari lalu, sebanyak 24 bas diambil tindakan hasil pemeriksaan terhadap 174 buah bas dan kesalahan paling banyak dikesan ialah memandu di lorong kanan iaitu 12 kes," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, kesalahan lain ialah tiada pemandu kedua atau memandu secara berterusan bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam secara berterusan (7 kes).

Ujarnya, pihaknya turut mengesan pemandu yang merokok (2 kes), tidak selenggara buku log (9 kes), abai isyarat lalu lintas (7 kes) dan lain-lain kesalahan (27 kes).

"Teknik penyamaran sebagai penumpang bas dilihat sangat efektif dalam mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu, namun statistik kesalahan yang direkodkan agak membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"Kami menjalankan pemeriksaan rutin di terminal sepanjang kempen ini malah menasihati pemandu supaya tidak mengabaikan keselamatan penumpang, namun masih ada yang berdegil," katanya.

Dalam pada itu katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu dan pemilik yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.