Air Empangan Timah Tasoh mampu bertahan tiga bulan

Empangan Timah Tasoh.
Empangan Timah Tasoh.
A
A
A

KANGAR - Paras air takungan di Empangan Timah Tasoh (ETT), Beseri dijangka hanya mampu bertahan selama tiga bulan sekiranya tidak hujan berikutan negeri ini sedang dilanda fenomena El Nino.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Negeri Perlis, Izizam Ibrahim berkata, sehingga Rabu, bacaan paras air empangan itu berada pada paras 28.57 meter atau 25.5 juta liter padu berbanding baki keseluruhan takungan air sekitar 84 peratus.

Menurutnya, bacaan menunjukkan takungan air masih lagi berada dalam keadaan baik dan pihaknya belum lagi merancang melaksanakan catuan bekalan air mahupun pembenihan awan di kawasan empangan berkenaan.

“Paras berkenaan menunjukkan penurunan daripada paras normal ETT iaitu 29.1 meter dan berdasarkan pemerhatian kita setiap hari, purata penurunan air di empangan ini adalah sekitar 0.02 meter.

"Berdasarkan semakan, paras air yang terdapat di ETT mampu bertahan selama tiga bulan atau 90 hari lagi bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” katanya pada Khamis.

Izizam berkata, biarpun paras air masih diklasifikasikan sebagai masih baik, kerajaan negeri berharap agar hujan berlaku dalam masa terdekat bagi mengelakkan paras berkenaan tidak terus turun sehingga paras kritikal iaitu 27.10 meter.

Menurutnya, jika tiada hujan berlaku dan pengairan air tetap dilakukan bagi sektor domestik dan pertanian, maka tidak mustahil bekalan air sedia ada akan terus menurun hingga paras bahaya iaitu sekitar 25.3 meter.

"Buat masa ini bekalan air yang terdapat di empangan berkenaan masih terus disalurkan untuk kegunaan domestik serta pengairan sawah yang terdapat di negeri ini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, langkah alternatif yang boleh dibuat jika penurunan paras air ketara berlaku adalah menerusi catuan bekalan air atau kaedah pembenihan awan di kawasan empangan berkenaan.