Buruh dijel tiga bulan, denda RM5,000 tipu bina rumah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

REMBAU - Seorang buruh dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas gagal menyiapkan pembinaan rumah sehingga pemiliknya mengalami kerugian RM10,421 pada Jun lalu.

Tertuduh, Nik Nur Aizuddin Suhaimi, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Kartini Kasran.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan 15 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan secara tidak jujur telah mendorong seorang wanita menyerahkan wang RM35,000 bagi tujuan pembinaan rumah, namun penama telah mengalami kerugian sebanyak RM10,421.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada tarikh antara 22 Mei hingga 18 Jun lepas di Kampung Baru Batu Hampar di Rembau.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut kesalahan dibawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Syuhada Mohd Isa dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, wanita berkenaan berjumpa dengan tertuduh bagi membina rumahnya dengan kos pembinaan RM50,000 sebelum menyerahkan RM35,000.

Daripada jumlah duit yang diserahkan, tertuduh membelanjakan RM12,579 bagi pembelian bahan binaan manakala RM12,000 bagi upah pekerja.

Berdasarkan progres kerja pembinaan, wanita berkenaan mengalami kerugian RM10,421 yang sepatutnya digunakan untuk membeli bahan binaan dan membayar upah pekerja seterusnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!