Dicekup di motel, beri alasan 'berteduh' dari hujan lebat

Pasangan kekasih mengaku sudah bertunang dicekup dalam sebuah bilik motel di Lembah Impiana, Kulim pada Khamis. Foto Pejabat Agama
Pasangan kekasih mengaku sudah bertunang dicekup dalam sebuah bilik motel di Lembah Impiana, Kulim pada Khamis. Foto Pejabat Agama
A
A
A

KULIM - Sepasang kekasih memberi alasan mereka terpaksa 'berteduh' di sebuah bilik motel disebabkan hujan lebat, ketika dicekup pegawai penguat kuasa agama dalam Ops Malam Kasih Sayang pada Khamis.

Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, ketika diserbu di sebuah bilik dekat Lembah Impiana di sini kira-kira jam 12.30 tengah malam, seorang lelaki berusia 23 tahun membuka pintu dalam keadaan berseluar pendek.

Menurutnya, wanita berusia 25 tahun disyaki pasangannya pula dipercayai masuk ke bilik air untuk berpakaian lengkap.

"Ketika disoal, mereka memberi alasan balik dari berjalan-jalan naik motor dan singgah di motel disebabkan hujan lebat," jelasnya.

Menurut Anwar, soal siasat mendapati mereka tiada hubungan suami isteri dan bukan mahram, bagaimanapun mengaku baharu sahaja bertunang.

Kedua-duanya dibawa ke balai polis untuk laporan tangkapan dan tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Artikel Berkaitan: