Mampukah Beras Putih Malaysia Madani hentikan isu manipulasi

Kerajaan mengumumkan mengenai kategori tunggal bagi beras putih iaitu Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran. Foto hiasan
Kerajaan mengumumkan mengenai kategori tunggal bagi beras putih iaitu Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran. Foto hiasan
A
A
A

KERAJAAN baru sahaja mengumumkan mengenai kategori tunggal bagi beras putih iaitu Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran.

Penetapan harga siling beras juga akan dilakukan sebagai mekanisme untuk menoktahkan tindakan manipulasi bekalan beras putih tempatan.

Ini disebabkan oleh sikap segelintir pengeluar sebelum ini yang dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada Rabu.

Katanya, penetapan harga siling baru bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa 19 Februari dan berada di pasaran bermula 1 Mac.

Sehubungan itu, pemain industri beras diberi masa selama 10 hari untuk melakukan penyelarasan dari segi pembungkusan dan pemasaran.

Serentak dengan itu juga, harga siling tunggal untuk Beras Putih Malaysia itu ditetapkan RM30 bagi beras 10 kilogram, RM15.50 untuk lima kilogram dan RM3.50 untuk satu kilogram.

Ketetapan tersebut dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara berkenaan sudah dibentang dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Harga siling bagi beras putih tempatan pada ketika ini adalah RM26 (10 kilogram), RM13 (lima kilogram), manakala RM2.60 bagi satu kilogram.

Perkembangan tersebut, pastinya mengundang reaksi pelbagai pihak khususnya rakyat golongan B40 dan asnaf yang mungkin agak terkesan dengan peningkatan harga.

Namun, sekiranya langkah tersebut mampu mengatasi isu manipulasi bekalan beras, ia wajar dilihat daripada sudut positif untuk jangka masa panjang.

Persoalannya, sejauh mana inisiatif tersebut mampu mengawal kegiatan memanipulasi bekalan beras?

Apakah bentuk jaminan kerajaan terhadap kualiti beras tunggal ini sendiri?

Sehubungan itu, isu tersebut dijangka terus hangat dibahaskan dalam tempoh terdekat kerana rakyat juga tentunya menuntut penjelasan lanjut daripada kerajaan.