Peniaga rugi hampir RM700,000 sindiket ‘phone scam’

Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM692,500 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC dan polis, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM692,500 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC dan polis, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM692,500 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis dalam kejadian dua minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 38 tahun itu bertindak memindahkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji miliknya ke akaun ketiga selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’.

Menurut beliau, kejadian bermula pada 28 Januari lalu ketika mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari Komunikasi Digital, Putrajaya memaklumkan dia terlibat dengan penipuan wang haram dan penyalahgunaan dadah.

"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai Asisten Komisioner Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Perlis sebelum diminta memuat turun satu aplikasi yang dikatakan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa diarah mendaftar melalui aplikasi itu dan mengisi maklumat diri termasuk dua akaun bank miliknya," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, pada 30 Januari lalu, lelaki itu kemudiannya memindahkan wang sebanyak RM300,000 daripada akaun ASB ke salah satu akaun bank miliknya.

Tambahnya, pada 4 Februari, mangsa memindahkan sebanyak RM400,000 dari Tabung Haji ke dua akaun bank miliknya,” katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, dua hari kemudian, sindiket itu melakukan pemindahan wang milik mangsa ke akaun sebuah bank secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa membuat semakan terhadap akaun sebuah banknya dan mendapati wangnya telah hilang sebelum bertindak menyekat semua akaun bank miliknya," katanya.

"Polis sedang melakukan siasatan ke atas penyata akaun bank terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.