Bekas banduan ditemukan mati tepi jalan

MACHANG - Seorang lelaki yang baharu dibebaskan dari penjara ditemukan meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas rumput di kaki lima Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, berhampiran Kilometer 25, di sini pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki itu pada jam 3.47 petang.
Menurut beliau, lelaki berusia 45 tahun yang berasal dari Kota Bharu itu dipercayai baru sahaja dibebaskan dari penjara.
“Lelaki itu dilihat berjalan kaki di kawasan berkenaan sebelum ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tidak berbaju.
“Pasukan perubatan Hospital Machang yang tiba di lokasi dan menjalankan pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Azuhar berkata, hasil pemeriksaan awal oleh pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mendapati tiada kesan kecederaan yang mempunyai unsur jenayah pada mayat tersebut.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Beliau berkata, semakan turut mendapati si mati mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Azuhar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

