Dua pengedar ditahan ketika bawa 19,934 gram ganja

Mohamed Usuf (tiga dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas dalam serbuan di tepi jalan di Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada Jumaat lalu.
Mohamed Usuf (tiga dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas dalam serbuan di tepi jalan di Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada Jumaat lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Dua pengedar dadah berjaya ditahan dalam satu serbuan di tepi jalan di Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Honda City oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 20 ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan kertas berwarna keemasan yang mengandungi daun disyaki ganja seberat 19,934 gram bernilai RM62,000.

"Dadah tersebut disyaki diseludup dari negara jiran, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Hasil risikan mendapati, kedua-dua bergiat aktif sejak hujung tahun lalu. Kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan.

"Suspek yang berusia 34 tahun mempunyai rekod lampau dan kedua-dua suspek positif ganja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 16 Februari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Mohamed Usuf berkata, jumlah tangkapan narkotik bagi tahun lalu 14,001 orang berbanding 13,078 pada tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan tangkapan sebanyak 7.06 peratus.

"Mengikut pecahan, kategori memiliki dadah, kita berjaya menangkap 8,366 orang, kes positif urin (4,434), Akta Racun (1,611), Langkah-langkah Pencegahan Khas (114) dan pengagihan dadah berulang (659).

"Nilai sitaan bagi harta alih, harta tak alih serta akaun bank bagi tahun lalu adalah sebanyak RM22.06 juta," katanya.

Mohamed Usuf berkata, sebanyak 27 kes sindiket dadah berskala besar telah dilumpuhkan sepanjang tahun 2023.

"Kesemua kes tersebut melibatkan 79 tangkapan dan 12 daripadanya merupakan warga asing. Nilai keseluruhan rampasan dadah dalam 27 kes tersebut adalah RM30.78 juta.

"Seramai 25 penjawat awam ditahan atas kesalahan dadah pada tahun lalu dan ini menunjukkan perlu ada jalinan kerjasama dengan lain-lain agensi melalui perkongsian maklumat serta usaha pembanterasan dadah," katanya.