Hospital Bachok dijangka beroperasi Jun ini

Dr Zaini (tengah) bertanya khabar petugas Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah pada Rabu.
Dr Zaini (tengah) bertanya khabar petugas Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah pada Rabu.
A
A
A

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Hospital Bachok dijangka dapat beroperasi sepenuhnya Jun tahun ini selepas mengalami kelewatan akibat beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, hospital yang dikelaskan sebagai hospital pakar itu sudah menerima sebahagian aset dan peralatan kesihatan.

Menurut beliau, kesemua perjawatan juga sudah dipenuhi dan akan memulakan tugas sebaik sahaja hospital itu beroperasi.

"Mengikut jadual, Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka menyerahkan hospital itu kepada Jabatan Kesihatan negeri Kelantan pada Mei depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana Hospital Tanah Merah pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Hospital Bachok dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember tahun lalu atau selewat-lewatnya Januari tahun ini selepas hampir tiga tahun pembinaannya terbengkalai.

Hospital itu melibatkan aset permulaan bernilai RM15.3 juta dengan 500 kakitangan.

Dr Zaini turut memberitahu, Hospital Bachok akan mendapat khidmat dan kepakaran daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan pasukan khas jabatan kesihatan akan melakukan pemantauan terhadap peniaga bazar Ramadan sepanjang bulan puasa Mac depan.

"Mereka perlu mengikut syarat yang ditetapkan termasuk latihan penyediaan makanan dan suntikan tifoid yang menjadi sebahagian daripada faktor kesihatan," katanya.

Jelas beliau lagi, jumlah anggota pasukan pemantau bergantung kepada jumlah bazar dan mereka turut mengambil sampel makanan.

"Kita mendapat kerjasama daripada agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan bagi menggalakkan peniaga menyediakan makanan bersih kepada pelanggan, " katanya.