Perkembangan siasatan nahas pesawat terhempas jadi tumpuan

Anggota bomba dan polis memeriksa lokasi sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa.
Anggota bomba dan polis memeriksa lokasi sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa.
A
A
A

PERKEMBANGAN siasatan berhubung nahas membabitkan pesawat ringan yang terhempas Kampung Tok Muda, Kapar, Klang pada Selasa dijangka terus menjadi tumpuan hari ini.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) juga tentunya menjadi lokasi tumpuan waris, dan keluarga mangsa termasuk pengamal media susulan proses bedah siasat dua mayat mangsa iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang yang dijadualkan dilakukan pagi ini.

Kejadian tragis itu amat mengejutkan kerana ia berlaku hanya kira-kira enam bulan selepas nahas kemalangan udara di Elmina Shah Alam pada Ogos lalu.

Kedua-duanya membabitkan lokasi berhampiran dengan kawasan penduduk membuatkan video dan gambar-gambar di lokasi kejadian cepat tersebar.

Pengesahan dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bahawa mayat dua mangsa terlibat dalam nahas pesawat tersebut ditemui tertimbus sedalam dua meter di lokasi nahas terbabit, menambahkan lagi persoalan bagaimana pesawat tersebut boleh terhempas.

Punca kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan susulan terdapat dakwaan pesawat terlebih dahulu meletup di udara sebelum terhempas.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu mengambil kira jenis peperangan yang akan berlaku dengan memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional seperti keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

Ia susulan banyak negara dunia dan kuasa besar pertahanan kini sudah mula memberi perhatian serius kepada aspek itu secara lebih terbuka dan inovatif.

Artikel Berkaitan:

Justeru tegas beliau, Malaysia tidak boleh ketinggalan, dan memerlukan anggota-anggota tentera yang memiliki keupayaan menggodam pada masa akan datang.

Sementara itu, berkaitan polemik usaha menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilihat cuba menghentikan perdebatan berhubung cadangannya itu.

Bercakap kepada pemberita dalam satu majlis di Ipoh, beliau dilapor enggan memanjangkan lagi isu tersebut kerana dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak polemik dan salah tafsir oleh pelbagai pihak.

Beralih kepada perkembangan cuaca negara, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia bakal mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding sebelum ini susulan ketiadaan hujan dalam tempoh lama.

Menurut MetMalaysia, negara berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.