Malaysia dapatkan kepakaran UAE dalam kecerdasan buatan

Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan Malaysia berminat untuk belajar daripada keupayaan kecerdasan buatan (AI) termaju UAE.(Gambar hiasan) Foto 123rf
Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan Malaysia berminat untuk belajar daripada keupayaan kecerdasan buatan (AI) termaju UAE.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

DUBAI - Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan minat Malaysia untuk belajar daripada keupayaan kecerdasan buatan (AI) termaju UAE.

Beliau berkata, potensi untuk bekerjasama untuk faedah bersama boleh diwujudkan dan diperkukuh lagi.

Memetik tema perhimpunan global itu, 'Membentuk Kerajaan Masa Depan' (Shaping Future Governments) sebagai idea yang hebat, Ahmad Fadil berkata: "Dalam konteks ini, saya yakin Malaysia akan mempunyai peluang terbaik untuk bekerjasama dengan kerajaan UAE kerana mereka maju dalam AI."

Ahmad Fadli juga menggariskan cita-cita Malaysia dalam tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan data dan potensi kerjasama dalam kedua-dua bidang itu.

"Saya percaya kerajaan Malaysia melalui sektor tenaga boleh diperbaharui yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat meneroka lebih lanjut peluang dalam pusat data dan sektor tenaga.

"Malaysia mempunyai kepakaran...cuma kita (Malaysia) perlu memanfaatkan kerjasama dengan entiti terkemuka di negara kita untuk manfaat bersama dalam AI," katanya ketika ditemui Bernama di luar Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia (WGS 2024) yang diadakan di sini pada Selasa.

Dalam langkah untuk meningkatkan kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui dan AI, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi melawat pejabat MASDAR City dan Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI) yang terletak di Masdar City Oktober lepas.

Pada Januari lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia dan Kementerian Pelaburan UAE mengukuhkan komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama pelaburan dalam sektor infrastruktur digital.

Artikel Berkaitan:

MITI berkata, kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menandakan perkongsian strategik mengenai pembangunan pusat data di Malaysia dengan projek berpotensi dijangka mencapai jumlah kapasiti 500 megawatt.

UAE ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari Asia Barat. - Bernama