Perubahan portfolio Exco Pahang diumum esok - Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Perubahan portfolio melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang akan diumumkan esok, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, perubahan itu akan dilaksanakan bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

"Sikit saja, tak ramai (perubahan portfolio)...ada sikit perubahan untuk tambah baik, kemaskan pentadbiran kerajaan negeri supaya lebih berkesan...esok saya akan buat pengumuman," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan yang berlangsung di hadapan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Dalam isitiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu.

Sementara itu, Amizar, 50, berkata, pelantikan itu mengejutkannya kerana hanya dimaklumkan mengenai majlis tersebut pada jam 1 tengah hari tadi, justeru beliau menzahirkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah dan berterima kasih kepada Wan Rosdy yang telah memberikan kepercayaan kepadanya.

Beliau berkata, amanah itu akan dijalankan sebaik mungkin termasuk dalam isu membantu golongan asnaf dan membasmi kemiskinan yang menjadi keutamaan pelbagai pihak.

"Saya akan bersama-sama Menteri Besar untuk perkasakan dan mantapkan lagi agenda pentadbiran kerajaan negeri untuk membantu rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amizar, 50, yang berasal dari Felda Chemomoi, Bentong memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 7 Okt lepas, dengan majoriti 2,949 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. - Bernama