Pahang tuan rumah tilawah, hafazan al-Quran peringkat kebangsaan

Wan Rosdy (kiri) bersama Mohd Na'im ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang pada Selasa.
Wan Rosdy (kiri) bersama Mohd Na'im ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Pahang menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi yang diadakan mulai 23 hingga 28 Mei depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA di sini.

"Seramai 29 peserta akan menyertai kategori tilawah iaitu 14 qari, 14 qariah dan seorang johan menunggu manakala 84 peserta pula akan menyertai kategori hafazan iaitu 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang berbesar hati apabila sekali lagi diberikan penghormatan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjadi tuan rumah bagi majlis ini.

Beliau memaklumkan, sebelum ini, Pahang pernah menjadi tuan rumah bagi penganjuran yang sama pada 2014.

"Kita akan memberi sokongan penuh bagi memastikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada kali ini dapat berjalan dengan lancar

"Semoga segala usaha kita untuk meningkatkan syiar Islam di negara ini mendapat keberkatan serta rahmat ALLAH SWT," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, penganjuran majlis itu dapat memperkukuhkan lagi hubungan baik antara kerajaan Pahang dan Persekutuan.

"Saya yakin dengan ikatan al-Quran ini, ikatan menjadi lebih murni dan barakah, selain dapat membawa syiar Islam," katanya yang berharap penganjuran majlis itu berjalan lancar.