X

Kindly register in order to view this article
!

Indonesia hantar nelayan ke Natuna, intip pencerobohan China

Hampir 500 bot nelayan bersedia untuk menangkap ikan di Natuna sambil mengintip kawasan perairan itu bagi menjaga keselamatan sempadan wilayah negara.
A
A

HANOI - Indonesia akan menghantar sejumlah 120 nelayan dari Pulau Jawa ke kepulauan Natuna di Wilayah Kepulauan Riau, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Menteri Penyelarasan bagi Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan, Mohammad Mahfud.

“Kami ingin menggerakkan nelayan kami dari Pantura di pantai utara Jawa dan mungkin dari kawasan lain juga untuk menangkap ikan serta melakukan aktiviti lain di sana,” kata Mahfud pada Isnin seperti yang dipetik oleh kompas.com.

Beliau menjangkakan bot-bot nelayan terbabit akan membantu melindungi Natuna daripada kapal-kapal asing dan memperkukuh kehadiran Indonesia di wilayah itu.

Agensi berita Indonesia Antara pada hari sama melaporkan bahawa Aliansi Nelayan Indonesia (ANNI) mengesahkan kesediaannya untuk menggerakkan beratus-ratus bot nelayan ke perairan Natuna.

Hampir 500 bot nelayan bersedia untuk menangkap ikan di Natuna sambil mengintip kawasan perairan itu bagi menjaga keselamatan sempadan wilayah negara, menurut ketua ANNI dalam satu kenyataan.

Mengulas isu Natuna, Presiden Joko Widodo dalam mesyuarat Kabinet semalam berkata, kedaulatan wilayah Indonesia tidak boleh dirunding.

Isu-isu mengenai kawasan di utara perairan Natuna menjadi perhatian kerajaannya selepas pihak berkuasa negara itu mendapati banyak bot nelayan yang diiringi kapal pengawal pantai China menceroboh zon ekonomi eksklusif (EEZ) Indonesia.

Antara 19 hingga 24 Disember 2019, sekurang-kurangnya 63 bot nelayan dan kapal pengawal pantai China telah memasuki perairan Natuna, menurut Agensi Keselamatan Maritim Indonesia (Bakamla).

Indonesia menolak jemputan China untuk berdialog bagi 'menguruskan pertikaian' berhubung EEZ Indonesia di Laut Natuna Utara atas alasan tiada tuntutan bertindih di kawasan itu.

Indonesia telah memanggil Duta China ke negara itu, Xiao Qian untuk membuat bantahan rasmi manakala Kementerian Luar berkata, Indonesia tidak mengiktiraf wilayah 'Sembilan Garis Putus-Putus' China kerana ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Kementerian itu berkata, ia adalah 'unilateral', tidak mempunyai asas perundangan dan tidak pernah diiktiraf oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).” - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus