Jerebu rentas sempadan: Singapura hantar notis kepada tujuh syarikat Indonesia

Jerebu toksik berterusan pada pagi Sabtu meskipun bacaan PSI 24 jam di tengah Singapura turun daripada tahap 'sangat tidak sihat' berubah kepada 'tidak sihat'. - Foto AFP
Jerebu toksik berterusan pada pagi Sabtu meskipun bacaan PSI 24 jam di tengah Singapura turun daripada tahap 'sangat tidak sihat' berubah kepada 'tidak sihat'. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Pemerintah Singapura akan menghantar notis langkah pencegahan kepada tujuh syarikat di Indonesia yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah sehingga menyebabkan jerebu toksik rentas sempadan ketika kualiti udara di negara itu berisiko merosot ke tahap berbahaya.

Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, Grace Fu berkata, dokumen dikeluarkan pada Jumaat itu menghendaki syarikat terbabit mengerahkan anggota pemadam kebakaran bagi mengawal atau mencegah kebakaran daripada merebak di kawasan tanah milik atau yang diduduki mereka.

Menurut laporan CNA, Singapura berhak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan atau menyumbang kepada pencemaran jerebu di negara itu termasuk aktiviti yang berlaku di luar negara.

Profesor Madya Jolene Lin dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata, kuasa itu diperuntukkan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berkuat kuasa pada 2014.

Di bawah akta berkenaan, pihak berkuasa boleh mengarahkan individu mengemukakan dokumen atau maklumat dan mengeluarkan notis langkah pencegahan kepada pihak yang terlibat.

Difahamkan, individu atau syarikat yang terjejas teruk akibat jerebu juga boleh mengambil tindakan terhadap entiti yang dikaitkan dengan pencemaran berkenaan.

Bagaimanapun, Lin yang juga Pengarah Pusat Undang-Undang Alam Sekitar Asia Pasifik memaklumkan tindakan undang-undang sedemikian bukan sekadar melibatkan pertimbangan perundangan malah berpotensi menimbulkan implikasi diplomatik.

Jelasnya, usaha Singapura menggunakan akta itu pada 2015 pernah mengundang reaksi kurang senang dari Indonesia.

Pada awal minggu lalu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) mengesahkan siasatan terhadap empat syarikat yang dilancarkan pada 2015 masih berlangsung, sekali gus mencerminkan kesukaran mengambil tindakan di bawah akta berkenaan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!