Beri tempoh sebulan semak semula peraturan, pekeliling lapuk - KSN

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. Foto fail Bernama
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memberi tempoh sebulan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri agar peraturan dan pekeliling lapuk disemak semula dan ditambah baik.

Menurutnya, peraturan dan pekeliling lapuk yang masih digunakan di dalam perkhidmatan awam perlu selari dengan kehendak semasa.

"Saya beri tempoh sebulan kepada mereka supaya hantar balik kepada saya mana-mana pekeliling yang boleh ditambah baik," katanya menerusi ucapan Amanat Tahun Baharu KSN Tahun 2024 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, peraturan dan pekeliling lapuk mengikat penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

"Kadang-kadang kita nak gerak tetapi tangan diikat oleh peraturan dan pekeliling, saya harap selepas ini saya dapat pantau perkara ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki menegur pegawai atasan di peringkat kementerian dan jabatan supaya sentiasa turun padang dan membuat lawatan mengejut bagi menilai perkembangan setiap projek pembangunan.

Ujar beliau, setiap projek perlu dipantau secara progresif dan mengikut penilaian ditetapkan bagi memastikan setiap projek berjalan lancar.

“Kadang-kadang jika tak turun padang dan percaya kepada mereka yang ada di bawah, selalunya maklumat diberikan tidak tepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh beliau berkata pernah menerima laporan pekerja yang tidak mencukupi di tapak projek selain kekurangan bahan mentah.

"Tetapi pada hari lawatan saya, penuh pula pekerja di tapak. Jadi lawatan mengejut ini perlu kerana saya bercakap perkara ini berdasarkan pengalaman.

"Dulu saya pernah melawat satu projek ternakan lembu di Perlis di mana ketika menteri melawat, penuh lembu dalam ladang tetapi dua hari selepas itu kosong,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd Zuki berkata, Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kini di peringkat akhir sebelum ia dimuktamadkan oleh Kabinet.

Ujar beliau, setakat ini tiada sebarang keputusan diambil termasuk menggantikan dengan kaedah lain.

"Jabatan Perkhidmatan Awam kini di peringkat akhir kajian dan akhirnya kerajaan akan meneliti atau membuat keputusan," katanya.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diberikan peruntukan untuk melantik penjawat awam baharu secara kontrak dahulu bagi tempoh setahun atau setahun setengah.

"Jadi kalau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak keluarkan arahan, dikhuatiri masih kekal melantik secara tetap dan berpencen dan ia akan 'defeat the purpose' (tak mencapai maksud) apa yang nak kita kaji," jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd Zuki turut memuji pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan yang berani kerana berupaya melaksanakan kajian SSPA.

Katanya, isu penyelarasan gaji penjawat awam bukan perkara baharu dan sudah lama dibincangkan selain tiada kenaikan sejak hampir 12 tahun lalu.

"Saya melihat ada keperluan untuk melihat dan mempertimbangkan agar sistem penilaian berasaskan prestasi turut diambil kira dalam kajian SSPA yang baharu.

"Pelaksanaan SSPA ini mesti diberikan keutamaan. Mengapa demikian? Sebab ini ialah tunjang utama reform yang akan menentukan keberhasilan dan produktiviti penjawat awam," katanya.