Fungsi Mahkamah Syariah Pulau Pinang tidak terganggu, berjalan seperti biasa

Muhamad Abdul Karim (kiri) dan Wan Salim (kanan) mengiringi Mohamad menyampaikan tauliah kepada salah seorang peguam syarie di Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang pada Selasa.
Muhamad Abdul Karim (kiri) dan Wan Salim (kanan) mengiringi Mohamad menyampaikan tauliah kepada salah seorang peguam syarie di Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Mahkamah Syariah Pulau Pinang berjalan seperti biasa dan fungsinya tidak terganggu dengan tindakan mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Tinggi Persekutuan, baru-baru ini.

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat sekiranya ia perlu kepada penambahbaikan.

Menurutnya, setakat ini, tiada mana-mana pihak yang mencabar enakmen kanun jenayah syariah di negeri ini.

"Kita hormati keputusan yang dibuat sekiranya ia perlu untuk penambahbaikan. Buat masa ini, pada saya dari segi peningkatan, martabat dan sebagainya kita berjalan seperti biasa.

"Fungsi Mahkamah Syariah Pulau Pinang tidak terganggu sebab jika kita terganggu dengan perkara-perkara tersebut, susah lah kita nak buat kerja.

"Walaupun isu ini mendapat liputan meluas dan banyak pihak membincangkannya, pada saya ia tidak menjejaskan fungsi mahkamah syariah negeri. Ini kerana, undang-undang itu bersifat negeri itu sendiri. Selagi tiada cabaran di negeri itu sendiri, saya berpendapat fungsi mahkamah syariah itu perlu berjalan seperti biasa," katanya di Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Sebelum itu, Muhamad Abdul Karim mengiringi Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid serta Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyempurnakan Majlis Pentauliahan dan Pengisytiharan Peguam Syarie Pulau Pinang 2024.

Muhamad Abdul Karim juga berpendapat bahawa sekiranya berlaku cabaran kepada mana-mana enakmen negeri, ia berkemungkinan bertujuan untuk mematangkan lagi proses keadilan syariah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Abdul Karim
Muhamad Abdul Karim

"Saya mempunyai pandangan yang agak berlainan sebab terbinanya mahkamah syariah, adalah di atas dasar undang-undang. Oleh itu, sekiranya ada cabaran dan sebagainya, itu salah satu perkara yang mungkin akan mematangkan lagi proses keadilan kita.

"Kita tidak menafikan bila ada cabaran seperti ini, ia sudah tentu akan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam tetapi dengan izin ALLAH SWT, kita akan dapat mengendalikan dengan jalan yang terbaik," tambahnya lagi.

Jelas beliau lagi, sekiranya berlaku pindaan dan sebagainya, mahkamah tetap menjalankan fungsinya untuk memartabatkan keadilan syariah itu sendiri.

"Jika kita lihat sejarah undang-undang negara kita pun, ada Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang 99 Perak dan banyak lagi. Ini semua satu asas kepada undang-undang itu sendiri.

"Namun, sudah tentu berlaku sedikit sebanyak perubahan yang sesuai dengan perjalanan masyarakat itu sendiri.

"Saya sangat optimis bahawa benda ini walaupun menjadi isu besar yang hangat dibincangkan, mungkin perbincangan tersebut dalam bentuk fahaman orang yang memulakan perbincangan tersebut," katanya.

Tambah beliau, kes yang dibawa ke mahkamah syariah bukan kes jenayah syariah semata-matanya, sebaliknya ia turut melibatkan kes kekeluargaan.

"Sebenarnya peratusan kes jenayah syariah yang dibawa ke mahkamah syariah sangat kecil, kira-kira 20 peratus sahaja. Dalam seminggu, hanya satu dan dua kes sahaja.

"Yang banyaknya adalah berkaitan kes kekeluargaan iaitu sehingga 80 peratus. Jika kita lihat ruang lingkup yang lebih luas, ia bukan melibatkan kes jenayah syariah sahaja, tetapi kes yang lebih banyak adalah berhubung kes kekeluargaan seperti pemberian nafkah, isu faraid dan sebagainya," katanya.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.