Jerai Geopark perkukuh jaringan antarabangsa, sasar UNESCO 2029

Datuk Mohd Salleh Saidin
Datuk Mohd Salleh Saidin
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah giat memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dan pengurusan warisan Jerai Geopark sebagai persediaan mencalonkan kawasan itu bagi mendapatkan pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) menjelang 2029.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin, berkata gerak kerja ke arah pencalonan berkenaan sudah dilaksanakan sejak 2025 menerusi kerjasama pelbagai jabatan, agensi, komuniti setempat dan pemegang taruh.

Menurutnya, usaha itu turut melibatkan jaringan kerjasama dengan geopark antarabangsa yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO serta geopark kebangsaan bagi perkongsian kepakaran dan amalan terbaik.

“Kerajaan Negeri melalui Unit Jerai Geopark sentiasa bekerjasama secara bersepadu dalam memperkukuh kedudukan Jerai Geopark sebagai ikon warisan geologi, biodiversiti dan budaya negeri.

“Kerjasama strategik antara jabatan dan agensi, pemegang taruh serta rakan kongsi Jerai Geopark turut diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Ts. Dr. Mohd Suffian Yusoff, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Antara usaha memperluas jaringan antarabangsa itu termasuk penganjuran Ultra Jerai Geopark Trail pada Sabtu ini yang akan melibatkan peserta dari Thailand, Vietnam, Brunei, Indonesia dan beberapa negara lain.

Mohd Salleh berkata, penganjuran program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama rakan kongsi serta komuniti tempatan Jerai Geopark.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Jerai Geopark ketika ini masih berstatus Geopark Kebangsaan dan sedang melalui proses Penilaian Semula Geopark Kebangsaan pada 2026.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada penambahbaikan aspek pengurusan, pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi komuniti bagi memenuhi keperluan pengiktirafan antarabangsa.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkukuh tadbir urus menerusi Unit Jerai Geopark di bawah pengurusan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, termasuk pemantapan struktur organisasi dan penyelarasan peranan agensi berkaitan.

“Selain itu, kajian saintifik bertaraf antarabangsa turut dirancang di beberapa geotapak terpilih yang mempunyai nilai geologi dan arkeologi signifikan bagi memperkukuh dokumentasi serta penerbitan penyelidikan,” ujarnya.

Usaha pemuliharaan turut merangkumi penambahbaikan pangkalan data, penyediaan rekod inventori dan pemantauan geotapak serta penyelenggaraan kemudahan interpretasi warisan geopark.

Dalam pada itu, program Komunikasi, Pendidikan, Penyertaan dan Kesedaran (CEPA) turut dipergiat menerusi pembangunan geotrail, penubuhan Geoschool serta kerjasama dengan institusi pendidikan, penyelidik dan pengusaha pelancongan.

Mohd Salleh berkata, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan NCER Malaysia bagi membangunkan Pelan Pembangunan dan Pelaksanaan Pelancongan Jerai Geopark.

Jelasnya, pelan berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan, pengukuhan infrastruktur, pemeliharaan warisan geologi, sejarah dan alam semula jadi serta penglibatan komuniti tempatan.

“Pelan ini juga bertujuan menggalakkan pelaburan sektor swasta bagi memastikan pembangunan Jerai Geopark dapat dilaksanakan secara mampan, berdaya saing dan memberikan manfaat kepada ekonomi serta komuniti setempat,” katanya lagi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!