Bekas pegawai kanan DBKL didakwa terima rasuah RM1.08 juta

Tertuduh menutup muka ketika media cuba merakam gambarnya ketika keluar dari mahkamah.
Tertuduh menutup muka ketika media cuba merakam gambarnya ketika keluar dari mahkamah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap enam pertuduhan menerima suapan bernilai RM1.08 juta dua tahun lalu.

Sabudin Mohd Salleh, 58, ialah bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabudin didakwa menerima suapan wang tunai RM700,000 daripada Ang Huck Koon melalui pihak ketiga, B Chandrasegar untuk memperakukan tuntutan pembayaran kepada Syarikat Juara Cahaya Sdn Bhd bagi cadangan menggantikan jambatan konkrit sedia ada kepada jambatan konkrit baharu merentangi Sungai Kelang di Jalan Jelatek di sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bangsar Shopping Centre di sini antara 4 April hingga 8 Mei 2019.

Sabudin juga didakwa menerima wang tunai RM20,000 bagi dirinya daripada Pengarah Syarikat Haneka Sdn Bhd, Lim Hong Jun sebagai dorongan bagi dirinya setelah mengesyorkan pelantikan syarikat BY Five HDD Sdn Bhd, Sutera Unik Sdn Bhd dan Uyin Enterprise untuk cadangan kerja penyelenggaraan infrastruktur awam sistem jalan raya dan perparitan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2017 hingga 2019.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia dituduh menerima wang tunai RM10,000 daripada Hong Jun sebagai balasan setelah memperakui sijil tuntutan pembayaran tiga syarikat itu untuk cadangan kerja-kerja penyelenggaraan yang sama.

Sabudin juga didakwa menerima wang tunai RM150,000 daripada Pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd, Chia Chee Seng yang tertuduh ketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana di sini antara 13 hingga 19 Ogos 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika bersalah.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan kelima dan keenam, Sabudin didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM100,000 daripada Wong May Kuan iaitu subkontraktor Dusari Niaga sebagai upah memberikan tiga permit kerja dan kerja pembaikan serta menaik taraf bebendul serta siar kaki di Lorong Ceylon dan sekitarnya.

Kesalahan dilakukan di sebuah kedai serbaneka di sebuah stesen minyak serta di kediamannya di Ukay Perdana di sini pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM150,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik dengan SPRM dan mempunyai tanggungan tiga anak dan isterinya adalah suri rumah.

Hamidi turut memberitahu anak guamnya itu mengalami masalah kesihatan menghidap darah tinggi dan gout serta perlu menjalani rawatan.

Setelah mendengar hujah kedua pihak, Azura membenarkan jaminan RM120,000 bersama dua penjamin bagi semua pertuduhan dan pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 17 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan SPRM menemui wang tunai RM1 juta di rumah milik pegawai kanan DBKL di Ukay Perdana, Ampang pada 9 Mei tahun lalu.

Penemuan wang tunai itu susulan penahanan beberapa suspek berusia antara 41 hingga 57 tahun di sebuah restoran sekitar Kuala Lumpur antara 12 hingga 12 tengah malam, 8 Mei tahun lalu.