Pelabur asing kekal belian bersih, aliran masuk RM400.7 juta

Pelabur asing mengekalkan belian bersih di Bursa Malaysia dengan aliran masuk RM400.7 juta, sekali gus merupakan pembelian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut.Gambar hiasan
Pelabur asing mengekalkan belian bersih di Bursa Malaysia dengan aliran masuk RM400.7 juta, sekali gus merupakan pembelian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut.Gambar hiasan
A
A
A

PELABUR asing mengekalkan belian bersih di Bursa Malaysia dengan aliran masuk RM400.7 juta, sekali gus merupakan pembelian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research.

Menerusi Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 9 Februari 2024, firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing merekodkan belian bersih setiap hari, dengan Selasa menyaksikan aliran masuk tertinggi berjumlah RM188.9 juta.

"Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM211.2 juta), utiliti (RM200.7 juta) dan teknologi (RM56.3 juta),” katanya.

Sementara itu, aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perladangan (-RM36.4 juta), penjagaan kesihatan (-RM27.5 juta), dan produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM15.4 juta).

MIDF berkata, institusi tempatan mengekalkan jualan bersih ekuiti domestik bagi minggu ketiga berturut-turut, berjumlah RM276.6 juta.

"Sektor perkhidmatan kewangan (-RM218.7 juta) menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi oleh kumpulan pelabur ini, apabila mereka menjual saham seperti Maybank (-RM88.5 juta), CIMB Group (-RM54.5 juta) dan Public Bank (-RM44.5 juta),” katanya.

Selain itu, katanya, peruncit tempatan menyambung semula jualan bersih di Bursa Malaysia pada -RM124.1 juta selepas menyertai belian bersih dalam masa singkat sebanyak RM9.5 juta pada minggu sebelumnya.

Dari segi penyertaan, MIDF berkata, terdapat peningkatan bagi purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan (-36.5 peratus), institusi tempatan (-31.7 peratus) dan pelabur asing (-35.5 peratus).

Artikel Berkaitan:

Firma penyelidikan itu berkata, bagi Asia, pelabur asing meneruskan pembelian ekuiti Asia bagi minggu ketiga berturut-turut, dengan belian bersih berjumlah US$389.2 juta di lapan pasaran yang dipantau sebelum ditutup untuk Tahun Baharu Cina.

Lapan pasaran itu adalah India, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, Taiwan, Thailand dan Vietnam. - Bernama