Bursa Malaysia rendah semasa akhiri sesi dagangan pagi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah sedikit pada Jumaat, seiring dengan bursa serantau, berikutan jualan kebanyakannya dalam saham berharga murah dalam keadaan sentimen pasaran yang lemah.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.89 mata kepada 1.441.77 daripada 1,442.66 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 0.69 mata lebih tinggi kepada 1,443.35 sebelum bergerak di antara 1,438.36 dengan 1,443.75 sepanjang sesi itu.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 517 berbanding 240, manakala 409 kaunter tidak berubah, 1,191 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.07 bilion unit bernilai RM831.67 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan di peringkat tempatan, keadaan pasaran keseluruhan mungkin lemah, diterjemahkan kepada penurunan jualan menyeluruh memandangkan nada negatif Wall Street dalam tempoh semalaman selain ketegangan geopolitik yang semakin teruk di Timur Tengah.

"Saham teknologi mungkin menjadi tumpuan hari ini kerana sentimen adalah negatif dengan prestasi Tesla yang lebih lemah.

"Kami berpandangan sektor tenaga boleh didagangkan lebih tinggi didorong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Saham Tesla merosot pada Khamis berikutan penurunan keuntungan yang ketara bagi suku ketiga.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura susut 0.06 peratus kepada 3,097.68; Nikkei 225 Jepun turun 0.14 peratus kepada 31,388.03; Indeks Hang Seng Hong Kong kurang 0.41 peratus kepada 17,225.82; SSE Komposit China menguncup 0.27 peratus kepada 2,997.22 manakala Kospi Korea Selatan turun 1.12 peratus kepada 2,388.77.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Bursa, Petronas Chemicals susut 19 sen kepada RM7.29; Tenaga kurang 11 sen kepada RM9.87; IHH Healthcare turun satu sen kepada RM5.94 manakala Maybank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM8.96 dan RM5.58.

Antara saham aktif, PUC dan Aldrich masing-masing menambah satu sen kepada 5.5 sen dan empat sen; Asdion menokok 2.5 sen kepada 10.5 sen; Saudee Group tidak berubah pada tiga sen, manakala Bina Puri susut setengah sen kepada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 13.4 mata kepada 10,628.04, Indeks FBMT 100 susut 10.59 mata kepada 10,303.69, Indeks FBM Emas Syariah kurang 29.48 mata kepada 10,880.07, Indeks FBM 70 merosot 32.9 mata kepada 13,982.6 dan Indeks FBM ACE turun 9.58 mata kepada 5,096.32.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.9 mata pada 172.98,

Indeks Perladangan susut 29.57 mata kepada 6,908.73, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.32 mata kepada 16,167.61, dan Indeks Tenaga menambah 8.28 mata kepada 882.97. - Bernama