Tujuh kenderaan terbabit nahas di Iskandar Puteri

Tangkap layar lokasi kemalangan berkenaan.
Tangkap layar lokasi kemalangan berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Tujuh kenderaan melibatkan dua kereta dan lima motosikal terbabit nahas jalan raya di Kilometer (KM) 5.4 Jalan Ismail Sultan menghala ke Johor Bahru di sini, lewat malam Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya berkenaan sekitar jam 9.21 malam Ahad.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Mazda di lorong kanan mengubah laluan ke sebelah kiri kerana cuba mengelak sebuah motosikal yang terbabas dan tidak dialihkan di lorong kanan.

“Sebuah kereta jenis Kia yang berada di belakang kereta jenis Mazda cuba mengelak dengan berhenti secara mengejut di bahu kanan jalan menyebabkan sebuah motosikal yang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta jenis Kia tersebut disusuli dengan perlanggaran empat motosikal sesama sendiri yang datang dari arah belakang.

“Ekoran daripada kemalangan tersebut, dua mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru manakala empat penunggang motosikal yang lain mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampai membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Farhan Roslen di talian 017-6304943 atau menghubungi BSPT Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322.

Artikel Berkaitan: