Ketua Polis Johor sahkan turut terima ancaman bom

M Kumar berkata kepada pemberita selepas menyantuni petugas Op Selamat di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru pada malam Isnin.
M Kumar berkata kepada pemberita selepas menyantuni petugas Op Selamat di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru pada malam Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan beliau turut menerima e-mel mengandungi unsur ancaman bom pagi tadi.

Beliau berkata, ancaman bom itu telah dihantar ke e-mel rasmi Ketua Polis Johor dan dipercayai dihantar oleh individu sama yang menghantar ancaman bom di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Bukit Senyum di sini hari ini.

"Semakan mendapati e-mel tersebut menggunakan alamat sama yang pernah dihantar beberapa tahun lepas.

"Kami percaya orangnya adalah sama.

"Akaun yang digunakan adalah akaun palsu.

"Kami dalam usaha untuk mengenal pasti penghantar e-mel tersebut dan apa-apa perkembangan kami akan maklum kemudian," katanya kepada pemberita selepas menyantuni petugas Op Selamat di Jalan Lingkaran Dalam di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ancaman bom yang dibuat ke atas beberapa premis kerajaan negeri hari ini.

Kumar berkata, e-mel yang dihantar individu terbabit adalah maklumat palsu bertujuan menimbulkan kegusaran dan ketegangan dalam kalangan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilapor berkata, tiga premis kerajaan di kawasan Johor Bahru Selatan termasuk Menara MBJB disahkan menerima e-mel mengandungi unsur ancaman bom daripada individu yang sama, hari ini. - Bernama