X

Kindly register in order to view this article
!

Projek naik taraf jalan lewat siap punca Bulatan Bestari sesak

Bulatan Bestari sesak kerana kerja naik taraf jalan lewat siap.
A
A

SHAH ALAM - Projek naik taraf jalan di Bulatan Bestari gagal siap dalam tempoh ditetapkan menyebabkan berlaku kesesakan di jalan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, projek tersebut mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan sehingga menjangkau Januari 2020.

"Sebagaimana warga Shah Alam yang lain, saya sendiri turut menggunakan laluan di sekitar bulatan ini setiap hari dan amat terkesan dengan pelbagai kesulitan yang timbul akibat dari kelewatan projek tersebut.

"Saya ambil maklum keresahan serta aduan awam berhubung isu kelewatan projek menaik taraf jalan di sekitar Bulatan Bestari (berhadapan pintu masuk utama Universiti Teknologi Mara Shah Alam) ini," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beberapa faktor yang menyebabkan kelewatan projek tersebut antaranya kelemahan melibatkan pihak kontraktor yang dilantik.

"Ini termasuk dari aspek keselamatan di pihak kontraktor hingga mengakibatkan beberapa insiden kemalangan membabitkan orang awam beberapa minggu lalu.

"Selain itu penutupan laluan yang menghubungkan kawasan Seksyen 2, 3 dan 7 ke Seksyen 16 hingga mengakibatkan kesesakan terutamanya ketika waktu puncak," katanya.

Menurutnya, MBSA turut memaklumkan bahawa tindakan sewajarnya telah diambil terhadap kontraktor terlibat di atas kelewatan menyiapkan projek tersebut.

"Saya mendesak supaya kerja-kerja menaik taraf bulatan ini disiapkan pada kadar segera.

"Kelewatan penyampaian membabitkan projek seumpama ini di Bandaraya Shah Alam diharap tidak lagi berulang pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan mengenai rungutan pengguna yang berdepan kesukaran dan masalah akibat projek menaik taraf jalan di sekitar Bulatan Bestari, Seksyen 2 di sini gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Terdahulu, Najwan bersama Datuk Bandar, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashid Ruslan serta pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam turun meninjau ke kawasan sekitar bulatan berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus