'Dekatkan diri dengan alam, pelajari kepentingannya' - Raja Muda Kedah

Tengku Sarafudin (depan, tengah) bersama Che Puan Muda Zaheeda (depan, kiri) menyusuri sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi hutan Ulu Muda.
Tengku Sarafudin (depan, tengah) bersama Che Puan Muda Zaheeda (depan, kiri) menyusuri sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi hutan Ulu Muda.
A
A
A

SIK - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia tidak seharusnya mengambil ringan akan kepentingan kelestarian alam sekitar di negara ini kerana ia berfungsi untuk membekalkan keperluan asas hidup seperti air dan makanan.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah agar semua pihak sentiasa berusaha memelihara alam semula jadi demi kelestariannya.

Baginda juga menyarankan agar rakyat mendekatkan diri dengan alam semula jadi dan mengambil peluang mengunjungi Hutan Simpan Ulu Muda untuk mempelajari kepentingan alam kepada manusia sejagat.

“Dengan cara ini, orang ramai akan lebih menghargai alam semula jadi apabila mereka memahami ia bukan sahaja untuk manfaat haiwan dan tumbuh-tumbuhan, malah untuk kita semua,” titah baginda.

Tengku Sarafudin bertitah demikian selepas mencemar duli mengadakan eksplorasi Hutan Simpan Ulu Muda selama dua hari dan turut bermalam di dalam hutan tersebut.

Tengku Sarafudin (kiri) bersama anakanda meninjau flora dan fauna dalam Hutan Simpan Ulu Muda.
Tengku Sarafudin (kiri) bersama anakanda meninjau flora dan fauna dalam Hutan Simpan Ulu Muda.

Turut berkenan berangkat, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda baginda, Tunku Zara Bahiyah dan Tunku Sulaiman Badlishah.

Baginda sekeluarga berkenan mengadakan lawatan tersebut untuk menikmati suasana alam semula jadi di Ulu Muda yang merupakan sumber tadahan air penting untuk kegunaan beberapa negeri utara Malaysia yang juga destinasi pelancongan terkenal.

Artikel Berkaitan:

Tengku Sarafudin bangga dengan kepentingan Hutan Simpan Ulu Muda yang merupakan sebahagian daripada jajaran hutan bersambungan terdiri daripada tujuh buah hutan simpan lain, iaitu Hutan Simpan Pedu, Padang Terap, Chebar Besar, Chebar Kecil, Bukit Keramat, Bukit Saiong dan Ulu Muda.

Tengku Sarafudin mencemar duli mengadakan eksplorasi Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.
Tengku Sarafudin mencemar duli mengadakan eksplorasi Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.

“Gugusan hutan ini berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Kawasan penanaman padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga bergantung kepada sumber air dari Ulu Muda dan Pedu, yang membolehkan penanaman padi dua kali setahun dapat dijalankan, ia menyumbang 40 peratus kepada penghasilan beras negara setiap tahun,” titah baginda.

Baginda bertitah, Ulu Muda juga menyumbang sebanyak 96 peratus keperluan air domestik di Kedah, 70 peratus di Perlis serta 80 peratus di Pulau Pinang.

“Kawasan industri berteknologi tinggi seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas juga bergantung kepada bekalan air dari Ulu Muda.

“Secara keseluruhan, lebih daripada 4.2 juta penduduk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bergantung kepada sumber tadahan air ini,” titah baginda.

Tengku Sarafudin turut menekankan kepentingan biodiversiti Ulu Muda yang merupakan aset penting untuk Kedah dan negara.

“Kepelbagaian flora dan fauna adalah penanda kesuburan dan kelestarian kawasan hutan negara ini.

“Ulu Muda kaya dengan kepelbagaian hidupan liar yang menjadi habitat spesies terancam seperti Gajah Asia, Beruang Madu dan Harimau Dahan. Antara keunikannya ialah kehadiran sepuluh spesies burung enggang termasuk Enggang Papan dan Enggang Belantara yang hanya direkodkan di Ulu Muda dan Kompleks Hutan Belum Temenggor,” titah baginda.

Raja Muda Kedah percaya keunikan Ulu Muda dengan pelbagai tarikan ekopelancongan bukan sahaja memikat pelancong tempatan malah pelancong luar negara.

“Pelancong kunjungi Ulu Muda untuk dapatkan pengalaman unik menikmati persekitaran alam semula jadi yang dikelilingi kepelbagaian flora dan fauna.

“Keindahannya terserlah dengan bentuk muka bumi tidak ekstrem menjadikan ia destinasi sempurna bagi aktiviti meredah hutan, pemerhatian burung dan haiwan liar, mandi-manda di sungai serta kawasan gua batu kapur dan sira garam,” titah baginda.