Pengalaman, kualiti julang SK Seksyen 20 di pentas final Piala Raja Muda Selangor

Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34 milik SK Seksyen 20 selepas menjinakkan SK Taman Alam Megah dalam perlawanan akhir di Padang Latihan FAS.
Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34 milik SK Seksyen 20 selepas menjinakkan SK Taman Alam Megah dalam perlawanan akhir di Padang Latihan FAS.
A
A
A

[DIKEMAS KINI]PENGALAMAN dan kualiti dimiliki pemain-pemain Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 merupakan faktor utama membolehkan skuad bola sepak sekolah itu menjulang kejuaraan Piala Raja Muda Selangor Edisi Ke-34.

Malah pengendali skuad bola sepak Piala Raja Muda Selangor Edisi Ke-34, SK Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari menyifatkan dua elemen itu juga memudahkan dia yang dibantu seorang lagi pengendali Mohd Fazdli Baharudin merencanakan permainan pasukan.

Jelas Nik Juhaidi, secara keseluruhan para pemain SK Seksyen 20 menampilkan disiplin tinggi apabila melaksanakan perancangan taktikal dirancang bersama Mohd Fazdli dalam mengekang asakan pemain SK Taman Alam Megah.

“Disiplin tinggi dalam kalangan pemain juga membolehkan gol awal dijelmakan pada separuh masa pertama biarpun bermain dalam keadaan cuaca panas.

“Malah gol kedua pada separuh masa kedua juga terhasil daripada kemampuan pemain-pemain menterjemahkan perancangan pasukan semasa rehat selepas aksi separuh masa pertama.

“Pengalaman pemain-pemain yang beraksi bersama kelab masing-masing sekitar Shah Alam juga membantu SK Seksyen 20 merangkul kejuaraan tahun ini, selain semangat dan fokus setiap sesi latihan sepanjang saingan Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34 berlangsung,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Ditanya persediaan awal dalam misi pertahanan kejuaraan pada edisi ke-35 tahun 2024, Nik Juhaidi berkata, “Kami akan mengadakan pencarian bakat-bakat baharu lebih awal di sekolah.

“Selain itu fokus terhadap program pembangunan bakat jangka panjang serta mengadakan sesi pemilihan dan latihan secara berterusan.”

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dua gol separuh masa pertama dan kedua membolehkan SK Seksyen 20 muncul juara Piala Raja Muda Selangor selepas menjinakkan SK Taman Alam Megah, 2-0 dalam perlawanan akhir di Padang Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Guru Besar SK Seksyen 20, Lutfee Ismail Amir (tengah) bersama trofi Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34, Muhammad Nazhaizal Qusyairi (kiri) dan Que Aisy Mikail (kanan).
Guru Besar SK Seksyen 20, Lutfee Ismail Amir (tengah) bersama trofi Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34, Muhammad Nazhaizal Qusyairi (kiri) dan Que Aisy Mikail (kanan).



SK Seksyen 20 yang tampil dengan reputasi pasukan pilihan menjuarai kejuaraan peringkat umur 12 tahun itu bermula garang apabila agresif memburu gol awal.

Hasilnya, anak buah Nik Juhaidi dan Mohd Fazdli berjaya memimpin 25 minit separuh masa pertama hasil jaringan pemain tengah Muhammad Nazhaizal Qusyairi Muhamad Nazeri pada minit ke-22.

Separuh masa kedua, SK Taman Alam Megah kendalian Mohamad Zool Hilmy Mohd Yusof yang menyingkirkan penyandang juara SK Seri Selangor, 1-0 dalam separuh akhir sebelum ini berusaha kembali dalam permainan, namun ketumpulan jentera penyudah SK Taman Alam Megah menjadi penghalang terakhir.

Pengurusan, jurulatih dan pemain SK Seksyen 20 bersama penganjur sebelum perlawanan akhir Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34.
Pengurusan, jurulatih dan pemain SK Seksyen 20 bersama penganjur sebelum perlawanan akhir Piala Raja Muda Selangor edisi ke-34.



Pertahanan SK Seksyen 20 yang tampil berdisiplin tinggi menyaksikan keputusan perlawanan memihak pasukan asuhan Nik Juhaidi dan Mohd Fazdli apabila giliran pemain tengah Afif Ikhwan Muhammad Zuhdi melebarkan jaringan pasukannya dengan gol minit ke-32.

Terdahulu SK Seksyen 20 mara ke perlawanan akhir selepas membelasah SK Puchong 6-0 dalam perlawanan separuh akhir.

Kemenangan itu menyaksikan SK Seksyen 20 membawa pulang trofi, medal dan RM4,000, manakala SK Taman Alam Megah pula medal dan RM3,000.

SK Seksyen 20 juga meraih kegembiraan berganda apabila merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Penjaga Gol Terbaik milik Que Aisy Mikail Muhammad Khairul Anuar manakala Anugerah Pemain Terbaik milik Muhammad Nazhaizal Qusyairi.

Tempat ketiga pula milik SK Puchong yang membawa pulang RM2,000 selepas menewaskan SK Seri Selangor (RM1,000), 1-0 bagi penentuan tempat ketiga keempat.

Edisi ke-34 yang menyingkap tirai 11 September lalu menyaksikan penyertaan 32 pasukan dari sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utama mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad.

Edisi kali ini melibatkan 640 pemain berusia bawah 12 tahun dianjurkan secara liga dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.