Tapak tanaman tembikai jadi lokasi pertandingan ekuestrian

Mohd Faris (kanan) melihat persediaan peserta berikutan tiada alat pelepasan dalam Sukan Berkuda Kampung Padang Bual Siri 1 2024.
Mohd Faris (kanan) melihat persediaan peserta berikutan tiada alat pelepasan dalam Sukan Berkuda Kampung Padang Bual Siri 1 2024.
A
A
A

KOTA BHARU - Penganjuran pertandingan sukan ekuestrian terpaksa dilakukan di sebuah tapak bekas penanaman tembikai di Kampung Padang Bual di sini berikutan ketiadaan lokasi sesuai yang melibatkan banyak kuda.

Presiden Persatuan Ekuestrian Negeri Kelantan (Baru), Ahmad Faris Yusof berkata, pertandingan juga berlangsung dalam keadaan serba kekurangan termasuk ketiadaan tempat pelepasan.

Menurut beliau, pergerakan kuda juga terhad dan keadaan berdebu kerana kawasan itu hanya diselenggara sebelum pertandingan berlangsung.

"Kami juga banyak bergantung kepada dana hasil derma daripada penggiat sukan berkuda di negeri ini selain rakan-rakan yang memberi sokongan," katanya ketika ditemui ketika Sukan Berkuda Kampung Padang Bual Siri 1 2024.

Ahmad Faris memberitahu, sukar membangunkan aktiviti terutama sukan berkuda berikutan mentaliti masyarakat dan segelintir pemimpin negeri terhadap persatuan berkenaan.

Jelasnya, anggapan pemilik kuda merupakan 'orang kaya' tidak benar sama sekali kerana kebanyakan mereka bermula dengan minat dan sanggup meminjam kuda rakan-rakan lain.

"Aktiviti membabitkan kuda ini sebenarnya satu sukan rakyat yang boleh menarik lebih ramai peminat terutama pelancong dari seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Faris (kiri) bersama seorang pemilik kuda yang menyertai Sukan Berkuda Kampung Padang Bual Siri 1 2024.
Mohd Faris (kiri) bersama seorang pemilik kuda yang menyertai Sukan Berkuda Kampung Padang Bual Siri 1 2024.

Selain itu beliau memberitahu, sehingga kini seramai 60 ahli berdaftar di bawah persatuan itu tetapi masih ramai lagi yang terlibat dalam aktiviti tidak mendaftar.

Ahmad Faris turut memaklumkan, pihaknya dalam proses mendapatkan sebidang tanah di Pengkalan Chepa sebagai lokasi equestrian.

Tanah seluas kira-kira 1.2 hektar itu diharap dapat menjadi lokasi yang menghimpunkan semua pemilik kuda dan peminat sukan itu di seluruh negeri.

Kawasan itu katanya, akan menjadi lokasi khas untuk pertandingan sukan berkuda yang dilengkapi semua kemudahan untuk kuda lasak, memanah berkuda, lumba kuda dan sukan berkaitan.

"Kita berharap mendapat sokongan kerajaan negeri supaya dapat mewujudkan equestrian seperti di Lembah Bidong, Kuala Terengganu yang sangat selesa dan lengkap untuk sukan itu," katanya lagi.

Sementara itu, penduduk Kampung Padang Bual yang juga peminat sukan berkuda, Mohamad Ezrizal Saidi, 34, berkata, mereka meminta kebenaran pemilik tanah untuk menganjurkan pertandingan itu.

Tambahnya, lokasi itu sesuai untuk sukan berkuda dan mereka mengutip sumbangan daripada rakan-rakan dan komuniti setempat bagi merealisasikan pertandingan berkenaan.

"Sebanyak RM4,000 berjaya dikumpul bertujuan mewujudkan satu kawasan pertandingan," katanya.