Kuih bakul Balamurali jadi rebutan setiap kali Tahun Baharu Cina

Balamurali (tengah) bersama isteri dan pekerjanya menunjukkan kuih bakul yang dijual di Bazar Tahun Baharu Cina di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
Balamurali (tengah) bersama isteri dan pekerjanya menunjukkan kuih bakul yang dijual di Bazar Tahun Baharu Cina di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina, pengusaha kuih bakul berbangsa India, Datuk B Balamurali, 55, tidak menang tangan menerima tempahan dan permintaan pelanggan sekitar daerah ini dan Singapura.

Beliau yang mengusahakan perniagaan kuih bakul secara tradisional sejak kira-kira 25 tahun lalu itu sudah mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan masyarakat Tionghua.

Balamurali berkata, kira-kira 64 peratus kuih bakul dihasilkannya dijual di Bazar Tahun Baharu Cina dan di kilangnya yang kedua-duanya di Taman Johor Jaya di sini menakala bakinya dieksport ke Singapura.

Menurutnya, kuih bakul dihasilkannya menjadi pilihan kerana rasanya sedap dan masih asli sama seperti 'air tangan' generasi lama masyarakat Tionghua satu ketika dahulu.

"Ramai pengusaha Tionghua yang membuat kuih bakul tidak lagi menghasilkannya secara tradisional kerana proses pembuatannya rumit dan mengambil masa yang lama. Mereka terperanjat kerana saya masih menghasilkan kuih bakul secara tradisional.

"Antara kaedah menghasilkan kuih bakul secara tradisional termasuk adunan perlu dibancuh menggunakan tangan serta dikukus dengan bekas di alas daun pisang. Antara bahan bancuhan adalah tepung pulut dan air gula.

“Bukan mudah menghasilkan kuih bakul dan terdapat sukatan tertentu supaya kandungan gula tidak berlebihan," katanya ketika ditemui di bazar berkenaan pada Sabtu.

Beliau berkata, selain itu terdapat beberapa pantang larang perlu dipatuhi mengikut kepercayaan Tionghua termasuk tidak membenarkan wanita mengandung mendekati dapur atau tempat dikukus selama 10 jam.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini beliau dan lebih 30 pekerjanya masih mengikut larangan berkenaan bagi memastikan kira-kira 2,000 sehingga 5,000 kuih bakul dihasilkan sehari di kilang berkenaan yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 11.30 malam.

Balamurali berkata, tidak pernah lokek berkongsi ilmu membuat kuih bakul dengan pekerjanya yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India apatah lagi kebanyakan golongan muda Tionghua tidak berminat lagi menghasilkan kuih berkenaan.

“Saya membuka perniagaan ini selepas bekerja di sebuah kilang menghasilkan kuih bakul selama 10 tahun.

"Apabila kilang tersebut tutup saya nekad memulakan perniagaan sendiri dengan modal RM10,000 hasil bantuan rakan pada 1999," katanya.

Tambah Balamurali, kuih bakul seberat 400 gram (g) dijual dengan harga RM10 manakala 700g dijual RM20 untuk yang dibungkus dengan daun pisang sementara RM4 (200g), RM8 (400g) dan RM15 (800g) dibungkus dengan plastik.