'Setiap kali mahu tidur, saya dengar letupan bom'

Salma Shurrab berkongsi ketakutan serangan Israel ke atas Gaza. - Foto Instagram @salma_shurrab
Salma Shurrab berkongsi ketakutan serangan Israel ke atas Gaza. - Foto Instagram @salma_shurrab
A
A
A

GAZA - Seorang pencipta kandungan yang berasal dari Palestin, Salma Shurrab telah berkongsi pengalaman pahit yang dihadapi mengenai serangan kejam Israel ke atas Gaza yang menghantui kehidupannya bersama keluarga.

Menerusi satu perkongsian di laman sosial, Instagram, Salma yang merupakan pelajar pergigian memaklumkan Israel telah menyerang Semenanjung Gaza dan mengarahkan pengepungan sepenuhnya dengan menyekat elektrik, air, makanan, atau bahan api daripada memasuki Palestin.

Dalam perkongsian video berdurasi dua minit sembilan saat itu, Salma memberitahu bahawa dia menyaksikan begitu banyak pencerobohan daripada serangan Israel ke atas Gaza.

Wanita berusia 22 tahun itu berkata, dia tidak pernah melihat serangan agresif sedemikian rupa dalam tempoh lima hari lalu.

“Syukurlah, saya masih mempunyai rumah dan mempunyai kehidupan bersama keluarga.

“Kali ini, saya meragui sama ada saya akan berjaya keluar hidup-hidup atau sebaliknya kerana semua kawan saya, ada yang kehilangan rumah dan ahli keluarga. Kali ini tiada tempat selamat di sekeliling,” katanya.

Menerusi rakaman berkenaan, dia menggambarkan keadaan semakin teruk di Gaza yang mana memaksa dirinya dan keluarga berpindah.

“Semalam, kami terpaksa mengosongkan keseluruhan bangunan. Saya terpaksa meninggalkan bilik, rumah dan ingatan saya untuk pergi ke tempat yang tidak lebih selamat daripada rumah saya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kami terpaksa pulang ke rumah kerana jika mati, saya akan mati di rumah saya,” katanya.

Dalam pada itu, Salma berkata, dia terpaksa mengalihkan katilnya sepanjang malam dalam usaha mencari kawasan paling selamat di dalam rumah untuk melindungi keluarga dan dirinya.

Beritahu Salma lagi, dia sekeluarga sudah bersedia dengan beg yang mengandungi dokumen perjalanan untuk membolehkan mereka berpindah pada bila-bila masa.

Tambah wanita itu, keadaan di Gaza bertambah buruk apabila serangan udara menyasarkan bangunan di bandar itu sehinggakan masjid dan bangunan awam dimusnahkan.

Jelas Salma, satu-satunya sempadan keluar dari Gaza telah dibom, menyebabkan orang awam terperangkap kerana bekalan mereka dipotong.

“Mereka memerangkap kami dalam ‘sangkar’ ini dan membuat semua orang menunggu kematian mereka. Gaza bukan lagi bandar untuk didiami, ia adalah bandar hantu. Semua tempat yang saya kerja telah musnah dan saya tidak fikir saya akan menamatkan pengajian.

“Mereka memotong semua air, internet dan mereka mengebom semua penyedia perkhidmatan internet di Gaza. Jadi sambungan internet sangat lemah yang mana ia bermaksud kebenaran tidak akan datang sebagaimana yang sepatutnya.

"Saya tidak tidur selama dua hari. Setiap kali mahu tidur, saya akan mendengar letupan bom, melihat cahaya, mendengar bunyi bising, jeritan atau jiran berpindah.

“Saya seolah-olah berfikiran, patutkah saya berpindah sekarang atau hanya perlu menunggu kematian di rumah sendiri? Ia benar-benar mengelirukan," katanya.

Penderitaan lama yang dihadapi oleh mereka di Gaza selama beberapa dekad menyebabkan mereka menjalankan operasi untuk menjamin diri mereka sebarang peluang untuk menerima kebebasan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres menyatakan kesedihannya atas pengepungan sepenuhnya di Semenanjung Gaza baru-baru ini dan menyeru agar lingkaran ganas pertumpahan darah, kebencian dan polarisasi itu diakhiri.