Beri impak keabsahan enakmen jenayah syariah negeri lain - Ledak

Gambar fail ribuan peserta membanjiri pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada 20 November lalu dengan mengenakan pakaian serba putih dalam Himpunan Selamatkan Mahkamah Syariah.
Gambar fail ribuan peserta membanjiri pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada 20 November lalu dengan mengenakan pakaian serba putih dalam Himpunan Selamatkan Mahkamah Syariah.
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Tindakan Strategik (Ledak) yang menaungi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini mendakwa pembatalan 16 enakmen kanun jenayah syariah Kelantan akan memberi impak kepada keabsahan enakmen kanun jenayah syariah yang sama di negeri-negeri lain.

Jurucakapnya, Dr Najahudin Lateh berkata, malah peruntukan itu boleh dicabar oleh si pesalah atau mana-mana pihak, lantas menunjukkan rendahnya status perundangan Islam dalam negara ini serta cabaran kepada keampuhan syariah dan kuasa institusi raja-raja.

“Umpamanya, sebarang aktiviti khidmat maksiat dan peminum arak berlesen ataupun seorang lelaki berperwatakan dan berpakaian wanita berkemungkinan tidak boleh diganggu atau didakwa sebagai kesalahan di mahkamah syariah walaupun bertentangan dengan syariat Islam jika tidak melanggar mana-mana undang-undang sivil.

“Justeru, Ledak memohon kepada seluruh badan bukan kerajaan (NGO) dan semua parti politik untuk menggembleng kekuatan dan tenaga bagi menggerakkan kesedaran ahli dan rakyat tentang sejarah hitam ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Najahudin menegaskan, gerakan itu seterusnya diharapkan dapat mengetuk 'pintu hati' kerajaan untuk meminda mana-mana 'sekatan' bagi perundangan Islam untuk dikuatkuasakan.

"Ledak sedih dan kecewa berhubung dengan keputusan pembatalan 16 enakmen itu yang menjadi suatu sejarah hitam atau 'Black Friday' bagi umat Islam dalam negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Peruntukan yang dianggap tidak sah dengan keputusan 8 - 1, antaranya adalah bagi kesalahan liwat, gangguan seksual, apa-apa yang memabukkan, urus niaga riba, label halal, perkhidmatan dan perbuatan maksiat, sumbang mahram serta berpakaian berlainan jantina.

“Ledak ingin menarik perhatian bahawa kesalahan-kesalahan tersebut adalah hukum syariah dalam Islam yang termaktub di Tanah Melayu sejak sebelum kedatangan penjajah pada kurun ke-14 dan tidak pernah diusik sejak pengubalannya sebagai undang-undang syariah di negeri-negeri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan al-Sultan negeri-negeri,” ujarnya.

Susulan itu, Najahudin berkata, Ledak menaruh harapan supaya adanya penglibatan Raja-Raja Melayu untuk memperkasakan perundangan Islam di Mahkamah Syariah.

"Ledak turut berharap agar usaha Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama tenaga pakar untuk mengembalikan kuasa perundangan Islam di negara ini dipermudahkan.

"Usaha itu boleh dibuat melalui apa sahaja syor dan tindakan termasuklah meminda perlembagaan ataupun menggubal apa-apa statut Islam yang 'bernyawa dan berkuasa'," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!