PM seru PDRM tambah baik peranan, imej dan integriti

Anwar menyampaikan ucapan ketika sesi lawatan dan ramah mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir pada Jumaat. - Foto: Bernama
Anwar menyampaikan ucapan ketika sesi lawatan dan ramah mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menambah baik peranan masing-masing dalam menjaga keamanan negara ini serta mengembalikan integriti agensi keselamatan itu.

Menurutnya, PDRM memerlukan ketangkasan dan kecekapan dalam pasukannya dengan tahap kredibiliti pegawainya yang lebih profesional serta mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam kelompok kecil yang merosakkan imej PDRM.

Anwar berkata, ini kerana PDRM dilihat sebagai benteng pertahanan utama domestik untuk mengangkat martabat negara.

"Ketua Polis Negara beberapa hari lalu menyergah kuat pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa. Dia (Ketua Polis Negara) maklum saya bahawa jumlah ini kecil, walaupun jumlahnya kecil ia memberi imej buruk kepada PDRM keseluruhannya.

"Saya minta kerjasama PDRM perbaiki, cuba ubah imej dan sistem negara kita ini. Negara kita ini punyai rekod cemerlang dalam banyak hal tetapi negara kita juga tercemar dengan imej salah guna kuasa dan rasuah yang mencalar,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bersempena lawatan rasminya ke Melaka pada Jumaat.

Selain mengingatkan bahawa amalan yang menjurus kepada ketirisan perlu dihentikan, Anwar juga menggesa semua badan penguatkuasaan termasuk PDRM untuk cuba menyelamatkan dana negara yang telah hilang dan mengembalikannya kepada rakyat.

"Badan penguatkuasaan PDRM, APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), dan Kastam mana-mana saja mesti tahu selamatkan dana dan kita pulangkan balik (dana) kepada rakyat. Jangan fikir pulang kepada pimpinan... saya mahu pemimpin turun ke bawah tengok sendiri dan kena ambil perhatian tentang apa yang berlaku di bawah.

"Dana tidak cukup maka kena selamatkan negara ini. Maka, tolonglah faham kenapa saya keras bab ini (ketirisan). Saya tidak mahu tolak ansur kerana saya nak selamatkan negara ini dan negara boleh kumpul RM10 bilion ke RM15 bilion kalau kita selamatkan (daripada ketirisan)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai cadangan pejabat pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk dipindahkan ke Kompleks Wisma Wawasan atau Wisma Amanah di Batu Berendam, Anwar bersetuju dengan perkara itu dan memberi tempoh dua minggu kepada pihak terlibat untuk menyerahkan segala dokumen penyerahan berkaitan kepadanya.

"Kalau kita nak rancang bangunan baharu dan ia akan ambil masa terlalu lama, tiga, empat tahun paling cepat. Dalam tempoh dua minggu, mereka (perlu) serahkan semua soal pemindahan serah tanah ini (IPD Melaka Tengah) kepada kerajaan negeri dan ambil alih (Wisma Amanah atau Wisma Wawasan) dengan harga munasabah.

"Sekiranya dalam tempoh dua minggu diselesaikan, saya akan rujuk kepada Jemaah Menteri (berkaitan perpindahan IPD itu)...dalam tempoh itu kalau semua keputusan dibuat saya akan sediakan belanja yang cukup untuk perbaiki supaya sesuai digunakan (IPD Melaka Tengah)," katanya.

Sebelum itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencadangkan pembinaan IPD Melaka Tengah dan Balai Polis Ayer Keroh berikutan kekangan agensi keselamatan itu untuk beroperasi di bangunan sedia ada.

Menurut Ab Rauf, IPD Melaka Tengah ketika ini beroperasi di sebuah bangunan dibina pada 1924 yang dijadikan sebagai pejabat pentadbiran British, dikenali sebagai "Malacca Volunteer Drill Hall" bagi pasukan The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF) sehingga 1948. - Bernama