Antara Qatar dan Jordan, siapa bakal bergelar 'Raja Asia'?

Foto Xinhua
Foto Xinhua
A
A
A

SELEPAS hampir sebulan menempuh perjalanan yang mencabar, tuan rumah Qatar dan Jordan sudah sampai ke kemuncak saingan Piala Asia 2023, dengan satu daripada mereka bakal dinobatkan sebagai juara pada perlawanan akhir di Stadium Lusail di Lusail, malam esok.

Sebagai juara bertahan dan beraksi di laman sendiri, Qatar mempunyai matlamat penting iaitu memenangi gelaran kedua berturut-turut, manakala Jordan yang akan beraksi pada final Piala Asia buat pertama kali, sangat bermotivasi untuk memahat sejarah baharu dengan merangkul kejuaraan sulung.

Qatar bimbingan Marquez Lopez, mempamerkan prestasi yang cemerlang pada kempen kali ini apabila mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan A, selepas mencatat kemenangan bersih tanpa bolos dengan mengalahkan Lubnan 3-0, Tajikistan (1-0) dan China (1-0).

The Maroons kemudian menewaskan Palestin 2-1 pada perlawanan pusingan 16 terbaik, mengatasi Uzbekistan 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi suku akhir, sebelum menundukkan juara tiga kali Iran 3-2, pada pertembungan separuh akhir.

Penyerang dengan gaya rambut yang mencuri perhatian ramai, Akram Afif merupakan taruhan terbaik Qatar selepas pemain Al Sadd berusia 27 tahun itu, telah pun meledak lima gol dan membuat tiga bantuan jaringan dalam enam perlawanan, sekali gus berpeluang muncul penjaring terbanyak pertandingan.

Selain itu, Qatar juga mempunyai senjata unggul di bahagian serangan iaitu ketua pasukan Hassan Al-Haydos dan penjaring terbanyak edisi lalu Almoez Ali, selepas masing-masing kini mengumpul tiga dan dua gol sepanjang kempen kali ini.

Pendahulu penjaring terbanyak ketika ini ialah penyerang Iraq Aymen Hussein yang mengumpul keseluruhan enam gol.

Menjelang perlawanan tumpuan esok, Qatar yang memenangi gelaran sulung selepas menewaskan Jepun 3-1 pada final edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), juga merupakan pasukan yang lebih baik berdasarkan ranking dunia apabila berada di posisi ke-58, manakala Jordan di kedudukan ke-87.

Artikel Berkaitan:

Namun, Jordan bimbingan Hussein Ammouta menyertai beberapa pasukan lain di sini antaranya Iraq, Tajikistan dan Malaysia, yang berjaya meraih keputusan mengejutkan sekali gus membuktikan ranking dunia tidak boleh dijadikan sandaran pada kejohanan berbentuk karnival.

Jordan layak ke pusingan kalah mati sebagai pasukan di tempat ketiga terbaik, apabila menamatkan saingan Kumpulan E di belakang Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan dengan mengumpul empat mata selepas menewaskan Malaysia 4-0, seri 2-2 dengan Korea Selatan dan tewas 0-1 di tangan Bahrain.

Kekuatan The Chivalrous terserlah dan semakin menonjol, apabila menyingkirkan Iraq yang juga juara 2007, 3-2 pada pusingan 16 terbaik, menewaskan Tajikistan 1-0 pada suku akhir untuk layak julung kali ke separuh akhir, yang menyaksikan mereka mengejutkan Korea Selatan 2-0.

Jika Qatar mempunyai Afif sebagai taruhan terbaik, Jordan memiliki Yazan Al-Naimat dan Mousa Al-Tamari, yang masing-masing sudah menjaringkan tiga gol serta Mahmoud Al-Mardi, yang mengumpul dua gol.

Dalam pada itu, Jordan yang dianggap sebagai pasukan bukan pilihan, turut berdepan tekanan yang lebih rendah berbanding Qatar, namun berbekalkan keyakinan terutama selepas berjaya menewaskan pihak lawan 2-1, ketika kedua-dua pasukan bertemu pada aksi persahabatan antarabangsa di sini, 5 Jan lepas.

Namun berdasarkan rekod pertemuan sebelum itu, Qatar merupakan pasukan yang lebih unggul apabila tidak tewas kepada Jordan dalam empat pertemuan terakhir sejak 2012, dengan meraih dua kemenangan dan dua kali seri. - Bernama