Tatacara kehakiman, perundangan mahkamah syariah perlu diselaras

Mohd Na'im. Foto Bernama
Mohd Na'im. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sudah tiba masanya untuk penyelarasan tatacara kehakiman dan perundangan mahkamah syariah dilakukan di seluruh negara.

Beliau berkata, bagaimanapun tatacara yang akan dipinda disarankan lebih bersifat mesra pengguna dan berbentuk kekeluargaan terutamanya dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah.

"Saya meminta supaya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai agensi menyelaras tatacara mahkamah syariah untuk meneliti tatacara berkenaan supaya ianya lebih mesra dan lebih berbentuk kekeluargaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Produk Wakaf Takaful Ajwad di sini pada Khamis.

Na’im berkata, beliau menyedari keadaan di mahkamah syariah yang kurang mesra terhadap pengguna ketika berkhidmat di JKSM.

"Macam sekarang kalau bila masuk mahkamah, orang takut dengan hakim dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan tatacara kehakiman dan perundangan mahkamah syariah adalah berbeza dengan Akta Mahkamah Syariah 1965 atau dikenali Akta 355 yang sebelum ini dicadangkan untuk meningkatkan bidang kuasa dalam jenayah mahkamah syariah.

"Pindaan tatacara secara menyeluruh lebih penting sebab nak naikkan martabat mahkamah syariah, bukan sahaja dalam konteks bidang kuasa tetapi agar mahkamah syariah lebih dihormati,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang dilaporkan menggesa semua undang-undang, prosedur dan tata kelola kehakiman dan perundangan di mahkamah syariah diselaraskan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, prosedur dan tatakelola yang tidak seragam di beberapa negeri agak meletihkan dan memenatkan pengamal undang-undang mahkamah syariah.

Terdahulu, Na’im turut melancarkan Produk Wakaf Takaful Ajwad yang merupakan kerjasama strategik antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Hong Leong MSIG Takaful, yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan dana wakaf tunai dan perlindungan takaful serta mengembangkan potensinya ke tahap yang lebih baik. - Bernama