Senjata hipersonik cetus persaingan

Senjata hipersonik baharu didakwa mempunyai keupayaan untuk menyerang AS. Gambar kecil; Zaki Salleh
Senjata hipersonik baharu didakwa mempunyai keupayaan untuk menyerang AS. Gambar kecil; Zaki Salleh
A
A
A

PENGUMUMAN Rusia berhubung kejayaan negara itu membangunkan senjata hipersonik yang didakwa berkeupayaan untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) menimbulkan persoalan kemungkinan ia mencetuskan perlumbaan senjata antara kedua-dua negara.

Peluru berpandu tersebut yang dilengkapi kenderaan luncur hipersonik digelar Avangard mula beroperasi bersama Divisyen Peluru Berpandu Yasnesky di wilayah Orenburg di kawasan pergunungan Ural di negara itu pada penghujung Disember lalu.

Avangard dipasang pada sistem peluru berpandu balistik antara benua, SS-19, bagaimanapun jumlahnya tidak didedahkan.

Presiden Vladimir Putin pada Mac 2018 pernah mendedahkan tentang senjata canggih tersebut yang boleh mencapai sasaran 27 kali lebih cepat daripada kelajuan bunyi dan mampu membawa senjata nuklear sehingga dua megaton untuk mengenai sasaran sejauh 5,954 kilometer (km).

Ia direka menggunakan bahan komposit baharu yang boleh menahan suhu sehingga 2,000 darjah Celsius.

Sebagai perbandingan, peluru berpandu jarak jauh Tomahawk buatan AS yang digunakan tentera negara itu dan sekutunya merupakan sistem peluru berpandu berkelajuan subsonik mampu mengenai sasaran sejauh 2,500km pada kelajuan 890 km/sejam.

Peluru berpandu hipersonik mempunyai beberapa kelebihan mengatasi peluru berpandu subsonik dan supersonik iaitu kelajuan untuk tiba pada sasaran selepas dilancarkan.

Faktor kelajuan ini juga membolehkan peluru berpandu hipersonik mengatasi sasaran sukar atau yang memiliki sistem pertahanan unggul seperti kapal pembawa pesawat kerana ia tidak boleh dipintas.

Artikel Berkaitan:

Negara yang berjaya membangun dan memiliki persenjataan tersebut juga secara tidak langsung telah menggandakan kemampuan untuk melancarkan serangan lebih awal berbanding negara lawan.

Kejayaan ini bukan sahaja dianggap penting tetapi umpama maruah kerana buat pertama kali sejak era kerajaan Soviet dan kini Rusia, Moscow berjaya memintas AS dalam bidang persenjataan berteknologi tinggi.

Justeru, pemilikan Avangard memberi kelebihan ketara kepada Rusia apabila ia kini dapat mengimbangi kuasa ketenteraan dengan AS serta digeruni negara-negara serantau selain menjadi instrumen cegah rintang.

Kebimbangan

Selain Rusia, China turut mengaku berjaya membangunkan sistem persenjataan hipersoniknya dikenali sebagai DF-17 yang turut mencetuskan kebimbangan Washington walaupun keupayaan sebenarnya masih samar-samar. Sama seperti Rusia, China berasakan perlu untuk memiliki sistem pertahanan termaju bagi menangkis sekiranya berlaku serangan peluru berpandu dari AS.

AS turut membangunkan program senjata hipersonik sejak beberapa tahun lalu, antaranya menerusi firma Lockheed Martin melibatkan kontrak kira-kira AS$1.4 bilion tetapi tidak banyak maklumat yang didedahkan.

Kejayaan Rusia ini mengimbas kembali kebimbangan AS semasa pentadbiran Presiden Ronald Reagan terhadap keupayaan nuklear negara itu apabila melancarkan program Inisiatif Pertahanan Strategik atau lebih dikenali sebagai program Star Wars.

Ia termasuk membangunkan senjata laser bagi mengekang serangan peluru berpandu nuklear Soviet.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, pengumuman kejayaan Avangard hanya berselang seminggu selepas Presiden Donald Trump melancarkan penubuhan Pasukan Pertahanan Angkasa Lepas iaitu 35 tahun setelah program Star Wars dibatalkan.

Kesimpulannya, AS jelas berasa tercabar dengan keupayaan terkini Rusia serta China lalu perlu menggandakan keupayaan pertahanan negara itu mencakupi kemampuan untuk menangkis serangan di angkasa lepas sekiranya peperangan berlaku pada masa akan datang termasuklah peluru berpandu hipersonik yang merupakan senjata termaju ketika ini.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu