Kedudukan Seu Bock, Rosman jadi teka-teki

Rosman Razak dan Tey Seu Bock
Rosman Razak dan Tey Seu Bock
A
A
A

"MUDAH-mudahan mereka boleh menghasilkan keajaiban," itu reaksi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria apabila ditanya kedudukan jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock dan jurulatih beregu wanita, Rosman Razak.

Kedudukan kedua-dua jurulatih negara itu dikatakan tidak selamat selepas penyingkiran tujuh pemain yang dirasakan gagal mencapai prestasi ditetapkan dan BAM seterusnya dijangka melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan.

Jika Seu Bock dan Rosman 'tidak mampu' menghasilkan pemain prospek pingat emas ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebaliknya hanya menjadi 'penumpang' sahaja, itulah pengakhiran buat kedua-dua mereka dan juga anak didik iaitu pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah dan beregu wanita, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean.

"Mengapa perubahan tidak dibuat secara menyeluruh? Kerana ada pemain yang mungkin prestasi dia kurang memuaskan tetapi boleh layak ke Tokyo 2020. Sebab itu saya telah beritahu Seu Bock dan Rosman bahawa Soniia, Mei Kuan dan Meng Yean akan dikekalkan dalam BAM tetapi sekiranya mereka hanya layak ke Tokyo 2020 sebagai 'penumpang' dan dengan umur mereka, masih tidak boleh diubah menjadi potensi pingat, saya rasa itu sahaja penghujungnya.

"Jika kehadiran Seu Bock dan Rosman tidak dapat meningkatkan prestasi ketiga-tiga mereka, masa masuk sehingga kini masih sama atau prestasi merosot, jadi saya fikir mesej itu sangat jelas," katanya kepada media selepas majlis penajaan 100Plus kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

No Image Caption

Mohamad Norza berkata, rombakan pemain yang dilakukan pada Jumaat lepas merupakan pelan strategi bagi Sukan Olimpik Paris 2024 untuk memastikan pemain yang akan dikekalkan hanya mereka yang berprestasi tinggi dan mampu mengungguli arena badminton dunia.

BAM mengambil keputusan menyingkirkan tujuh pemain yang dirasakan gagal mencapai prestasi ditetapkan iaitu pasangan beregu senior lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi; tiga pemain perseorangan lelaki Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Taha dan pasangan beregu wanita, Lim Peiy Yee-Lim Chiew Sien untuk penubuhan skuad baharu, Projek 24.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, 39 pemain senior yang masih kekal di dalam badan induk berkenaan tidak boleh berasa lega kerana akan ada satu lagi penilaian semula 30 April depan.

"Bila kami cakap tentang rombakan yang dibuat, kami tahu bahawa tujuan kami ada dua. Satu untuk menghadapi jangka masa panjang iaitu Sukan Olimpik 2024 dan satu lagi Sukan Olimpik 2020. Untuk Paris 2024, memang jelas bahawa kami akan mengetengahkan pemain muda berusia 22 tahun ke bawah supaya mempunyai masa untuk membangunkan pasukan yang kuat," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh pemain kena 'smash'