Mengapa Lembaga Pengampunan perlu bentang alasan keputusan

Najib
Najib
A
A
A

RAKYAT Malaysia berpecah belah dalam isu pengampunan Najib Razak.

Ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan itu. Ada yang marah-marah kerana Najib tidak diberi pengampunan penuh.

Mereka marah kerana Najib masih tidak dibebaskan seperti Anwar Ibrahim dibebaskan dulu selepas Pilihanraya Umum tahun 2018.

Ada yang marah-marah pada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana hukuman ke atas Najib dikurangkan 50 peratus dari 12 tahun kepada enam tahun sahaja. Tahun 2028 Najib akan dibebaskan.

Ada pula yang mengira matematik. Kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan menyatakan hukuman dan denda ke atas Najib dikurangkan 50 peratus dari segi hukuman dan denda.

Dari 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun betullah dari segi matematik iaitu 50 peratus. Tetapi kenapa pula denda dari RM210 juta dikurangkan sehingga tinggal RM50 juta sahaja.

Kalau 50 peratus denda kepada Najib sepatutnya dikurangkan menjadi RM105 juta.Mengapa pula RM50 juta? Tanya mereka.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim cuba menenangkan rakyat dengan memujuk rakyat supaya menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Diraja itu dan seterusnya menyatakan keputusan Lembaga Pengampunan itu adalah kuasa wewenang atau kuasa prerogative Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Hujah Perdana Menteri itu disangkal pula oleh sesetengah pihak yang menyatakan bahawa Perdana Menteri jangan cuba cuci tangan dan menyalahkan Yang di-Pertuan Agong kerana mereka berhujah dalam soal pengampunan diraja itu Perdana Menteri atau Kabinet terikat dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri atau Menteri yang bertanggungjawab.

Dalam kecoh dan riuh soal pengampunan Najib, maka Menteri Wilayah Persekutuan muncul pula untuk menenteramkan rakyat dengan memberi alasan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan itu adalah keputusan kolektif Lembaga tersebut.

Perkataan keputusan kolektif yang digunakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan itu menimbulkan pening lalat di kalangan rakyat yang tahu sedikit sebanyak undang-undang Perlembagaan.

Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung Kuasa Pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak ada disebut perkataan 'keputusan kolektif' yang disebut oleh Menteri Wilayah Persekutuan.Juga tidak ada disebut 'Kuasa Prerogative Yang di-Pertuan Agong' seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Dalam keadaan rakyat resah, tidak puas hati dan marah-marah, maka Menteri Komunikasi dan Ketua Jurucakap Kerajaan Perpaduan muncul dengan memberi amaran kepada rakyat, kepada pemimpin parti politik, kepada aktivis masyarakat, NGO, CSO dan warga Internet netizen supaya hati-hati jangan sentuh 3R yang jadi pantang larang sekarang.

Pihak Polis PDRM pula dalam dua tiga hari ini sibuk buka kertas siasatan. Tulisan-tulisan walaupun dalam bentuk sindiran juga jadi kesalahan lalu ada pihak yang sedang disiasat di bawah Akta Hasutan tahun 1948.

Kesimpulannya, siapa sebenarnya yang boleh menenteramkan rakyat dalam soal pengampunan Najib Razak ini?

Jawapannya ialah Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, bersama-sama Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan 3 anggota lainnya mestilah telus dan berani.

Berani buat keputusan mesti berani membentangkan alasan-alasan mereka mengapa keputusan mereka sedemikian rupa terhadap permohonan pengampunan Najib Razak.

Keputusan Lembaga Pengampunan DiRaja pada 29 Januari 2024 lalu tidak boleh dirayu di mahkamah.Ia juga tidak boleh dibicarakan di mahkamah.

Tidak seperti keputusan-keputusan kerajaan yang lain boleh dicabar di mahkamah di bawah prosiding Semakan Kehakiman ataupun Judicial Review.

Oleh kerana itu demi keadilan, demi ketelusan sesuai dengan prinsip penanggungjawaban maka rakyat Malaysia 33 juta berhak menuntut Lembaga Pengampunan Diraja membentangkan Alasan Bertulis mereka terhadap Keputusan Rasmi yang mereka putuskan terhadap permohonan pengampunan oleh Najib Razak.

Jangan mengelak membentangkan kepada umum secara bertulis alasan keputusan Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat pada 29Januari itu dengan helah tidak ada disebut di dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tanggungjawab membentangkan alasan-alasan keputusan kepada umum secara bertulis.

Perlu diingat bahawa tidak ada ditulis di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan sabitan bersalah dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib Razak supaya membentangkan alasan penghakimannya secara bertulis kepada umum untuk disemak dan diteliti oleh rakyat dan masyarakat dunia antarabangsa.

Tetapi Yang Arif Hakim Mahkamah itu dengan berani, telus dan penuh bertanggungjawab telah membentangkan alasan penghakimannya secara bertulis.

Kemudian apabila Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Rayuan Malaysia, maka 3 Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia juga mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib tetap bersalah dan hukuman dikekalkan iaitu 12 tahun penjara dan RM210 juta denda.

Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan itu dengan penuh kebertanggungjawaban dan telus telah berani membentangkan alasan-alasan penghakiman mereka secara bertulis dan dikemukakan untuk umum.

Begitu juga apabila Najib Razak merayu selanjutnya ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan Malaysia, maka Lima hakim Mahkamah Persekutuan selepas mendengar hujah-hujah pihak perayu iaitu Najib Razak dan juga pihak responden iaitu Pendakwa Raya telah mengemukakan alasan-alasan penghakiman mereka secara lisan dan bertulis mengapa Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan Malaysia bahawa Najib didapati sabit bersalah dan dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Jadi 33juta rakyat Malaysia malah dunia antarabangsa berhak untuk meneliti dan menyemak alasan-alasan keputusan Lembaga Pengampunan Diraja terhadap Najib Razak.

Tidak munasabah, malah menghina rakyat Malaysia jika Lembaga Pengampunan melalui Sekretariatnya hanya mengeluarkan kenyataan rasmi sekadar sehelai muka surat yang memutuskan hukuman ke atas Najib dikurangkan 50 peratus dari penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Yang munasabah ialah Lembaga Pengampunan Diraja mengumumkan secara bertulis alasan-alasan keputusan mereka terhadap permohonan pengampunan Najib Razak. Jika ini dapat dilakukan, barulah rakyat berpuas hati dan bersedia untuk menghormati keputusan tersebut.

* Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang

# Artikel ini adalah pandangan daripada penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian.