[VIDEO] Pengampunan Najib: UMNO yakin kumpul sejuta tandatangan

A
A
A

PONTIAN - UMNO yakin dapat mengumpul sejuta tandatangan bagi rayuan mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengumpulan tandatangan ahli parti di seluruh negara itu akan dapat diselesaikan pada minggu depan.

"Ahli UMNO kini berjumlah 3.2 juta orang, saya kira jika diberikan tempoh sehingga minggu depan untuk mengumpulkan sejuta tandatangan itu, bukan perkara yang sukar.

Ahli UMNO Bahagian Pontian menyatakan sokongan kepada rayuan pembebasan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di Bangunan UMNO Pontian pada Sabtu.
Ahli UMNO Bahagian Pontian menyatakan sokongan kepada rayuan pembebasan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di Bangunan UMNO Pontian pada Sabtu.

"Sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor, saya juga akan bawa perkara ini dalam mesyuarat bersama 26 Ketua Bahagian UMNO Johor pada Ahad.

"Ketua Bahagian sudah diingatkan agar segera mengumpulkan tandatangan sehingga selesai pada minggu depan. Perkara ini telah ditaklimatkan di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada minggu lalu," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Bangunan UMNO di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pontian itu turut menyasarkan seramai 75 peratus daripada keseluruhan 20,000 ahli UMNO Bahagian Pontian akan menandatangani petisyen berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad yang merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan usaha mengumpulkan tandatangan itu merupakan tindakan dilakukan UMNO sebagai menghargai jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kerajaan.

"Sebenarnya usaha merayu ini dilakukan ahli keluarga peguam tetapi kami sebagai pemimpin UMNO menghargai jasa Najib. Beliau menjadi wakil rakyat termuda selepas memenangi Parlimen Pekan pada tahun 1979, ketika itu berusia 23 tahun.

"Seterusnya beliau menjadi Timbalan Menteri di pelbagai kementerian dan Menteri Besar Pahang serta Timbalan Perdana Menteri. Kemudian sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun.

"Jasanya begitu lama tetapi yang dilihat cuma sembilan tahun sebagai Perdana Menteri, tetapi perlu dilihat beliau sudah berjawatan dalam kerajaan sejak berusia 23 tahun," katanya.

Pada minggu lepas, UMNO dilaporkan akan meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap Najib.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, keputusan itu dibuat sesuai dengan laras undang-undang negara, di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib.