Penangan Gen Z terhadap SPM 2023
SEJAK bermulanya peperiksaan bertulis bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada penghujung Januari lalu, pelbagai cerita atau kisah mengenai calon tersebar ke seluruh negara.
Suhu sektor pendidikan sedikit panas apabila timbul luahan seorang guru yang berkongsi di media sosial bahawa seramai 32 orang pelajar dalam kelas dengan berani menghantar kertas jawapan kosong bagi peperiksaan subjek Sejarah.
Susulan itu, Jabatan Pendidikan Sarawak (JPS) menerusi Pengarahnya, Datu Dr Azhar Ahmad, menegaskan akan menyiasat dan mengesan sekiranya berlaku tindakan sebegitu di negeri tersebut.
Sementara itu, status di aplikasi X membabitkan calon SPM 2023 yang tidak berpuas hati akan soalan subjek Bahasa Inggeris dikecam teruk oleh netizen.
Remaja itu mendedahkan dia tidak kenal atau tahu maksud perkataan 'advertisment' yang ada dalam soalan peperiksaan. Paling melucukan apabila calon SPM 2023 itu sendiri mengaku hanya faham singkatan 'adv' dan bukannya advertisment yang sebenarnya membawa maksud sama.
Banyaklah komen berbaur kecaman dan tidak percaya dengan reaksi calon SPM 2023 atau lebih terkenal dengan gelaran Gen Z di platform media sosial.
Paling mengejutkan, seorang pemuda menerusi satu program podcast mendakwa sijil SPM bagi dirinya tidak bernilai dan sekolah bukanlah tempat untuk menuntut ilmu.
Video tersebut pastinya dikecam teruk oleh golongan ilmuwan dan pendidik kerana ia mampu mempengaruhi pelajar termasuk murid untuk tidak bersekolah dan menduduki peperiksaan utama.
Tidak kurang juga pelajar Gen Z ini mengaku telah menanam cita-cita sebagai pempengaruh atau influencer yang bagi mereka ia jalan mudah untuk mendapatkan wang.
Bagaimanapun, golongan ini masih tidak mengerti bahawa pempengaruh bukanlah kerjaya, sebaliknya ia kemahiran insaniah (soft skill) untuk melatih mereka tampil lebih berani dan yakin dalam melontarkan pendapat.
Untuk tempoh 10 tahun akan datang, adakah ini generasi pemimpin yang Malaysia perlukan?
Masih ada peluang atau tidak untuk negara kita mengubah persepsi bahawa peperiksaan utama seperti SPM amat penting bagi masa depan pelajar?
Diharapkan akan ada usaha daripada semua pihak mengembalikan semula martabat peperiksaan SPM ini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!