Bomba kenal pasti 4,975 hot spot banjir seluruh negara

Nor Hisham (tengah) berbual dengan beberapa anggota PBS selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen PBS Zon Utara 2023 di Balik Pulau pada Selasa.
Nor Hisham (tengah) berbual dengan beberapa anggota PBS selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen PBS Zon Utara 2023 di Balik Pulau pada Selasa.
A
A
A

BALIK PULAU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 4,975 lokasi hot spot banjir di 79 zon di seluruh negara bagi tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu diambil daripada data-data yang direkodkan dalam lima tahun sebelum ini.

Menurutnya, susulan itu, semua maklumat tersebut telah disalurkan kepada semua balai bomba di setiap zon dan negeri agar persediaan dapat dibuat dengan rapi.

"Penekanan kami adalah bagaimana untuk koordinasi bersama, logistik setempat untuk kita respons dengan lebih cepat. Kedua pula, pihak jabatan melihat kaedah bagaimana kita boleh tunggu banjir. Jika dahulu, banjir baru kita pergi.

"Sekarang ini, selepas mengenalpasti lokasi-lokasi banjir, kita akan letakkan aset supaya kita dapat bergerak lebih cepat. Kita tidak mahu, apabila banjir nanti, jalan putus, kita tak boleh akses dengan cepat, kita lewat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Zon Utara 2023, di sini pada Selasa.

Tambah beliau, JBPM kini dalam proses akhir untuk melengkapkan unit udara dengan kemudahan dalam meningkatkan prestasi bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

"Masalah pertama adalah orang terlibat banjir dan yang terputus hubungan sebab banjir, jalan tak boleh keluar beberapa hari, mangsa nak keluar minta bantuan. Kita juga belajar daripada tahun 2021 dulu apabila sebahagian kawasan di Gua Musang dan Hulu Langat terputus jalan sebab tanah runtuh.

"Nak baiki jalan, lambat jadi kita akan menggerakkan logistik udara untuk hantar makanan berdasarkan permohonan kepada permohonan daripada agensi-agensi yang bertanggungjawab lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, bagi tahun ini, JBPM berkomunikasi dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam menempatkan aset di lokasi banjir seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

"Tahun ini, kita ikut gerakan banjir, kita berkomunikasi dengan Jabatan Meteorologi Malaysia yang mana kita akan ikut turutan dan menempatkan aset daripada kawasan tak banjir ke kawasan banjir mengikut penempatan lokasi.

"Bagaimanapun, untuk persiapan awal supaya kita tidak hilang masa, kita kenal tiga lokasi di semenanjung yang kita akan letak aset lebih awal daripada negeri lain.

"Di Pantai Timur, kita letakkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai termasuk sebahagian aset udara untuk respons lebih cepat di kawasan itu.

"Bagi utara, kita akan letak di Perda (aset air) dan aset udara di Bertam. Untuk zon selatan, kita akan letak di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Itam, Johor," katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, JBPM menyasarkan 500 PBS akan ditubuhkan di seluruh negara menjelang 2030.

Sehubungan itu, katanya, jabatan itu telah selesai melaksanakan pemetaan lokasi bagi menentukan lokasi yang memerlukan pasukan bantuan tersebut.

"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mencadangkan satu inisiatif untuk bajet tahun depan supaya kadar geran tahunan PBS ini dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000.

"Jadi kita memohon supaya cadangan itu dapat diluluskan kerajaan agar kita dapat menyokong dalam usaha memperkasakan perkhidmatan PBS ini. Ia merupakan salah satu elemen untuk menyokong hasrat kita untuk menubuhkan 500 PBS menjelang 2030," katanya.