Motosikal terbabas, operator ladang ayam maut dirempuh kereta

Operator ladang ayam cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Padang Kulim, Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang. Foto PDRM
Operator ladang ayam cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Padang Kulim, Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang. Foto PDRM
A
A
A

BALING - Seorang operator ladang ayam maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Padang Kulim, Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi apabila motosikal dinaiki mangsa, Mohamad Syafiq Izzuan Mohd Subri, 24, dari arah Kampung Kuala Darak menghala ke ladang ayam di Batu 5, Sik dipercayai hilang kawalan dan memasuki ke laluan bertentangan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh di laluan terbabit sebelum dirempuh sebuh kereta dinaiki seorang guru wanita berusia 35 tahun bersama tiga anaknya yang bergerak dari arah Kuala Ketil menghala ke Sik.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian kemalangan pada jam 8.40 pagi, pemandu lori, M Moganasuntheram, 60, maut selepas kereta yang dipandunya terbabas.

Shamsudin berkata, kejadian berlaku di Kampung Kubang Bedengung, Jalan Sungai Petani-Baling ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke rumahnya di Taman Orkid, Kuala Ketil.

"Kereta mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan yang dipenuhi semak samun.

Artikel Berkaitan:

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.