Cuaca panas tidak jejaskan tanaman padi kawasan Muda

Prestasi kemajuan tanaman padi Musim 2/2023 sehingga hari ini juga telah mencatatkan aktiviti tanam mencapai 99.3 peratus melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar. Foto Mada
Prestasi kemajuan tanaman padi Musim 2/2023 sehingga hari ini juga telah mencatatkan aktiviti tanam mencapai 99.3 peratus melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar. Foto Mada
A
A
A

ALOR SETAR - Musim panas dan kering yang sedang melanda negara ini tidak memberikan kesan terhadap tanaman padi terutamanya di kawasan Muda.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam satu kenyataan berkata, takungan air di tiga empangan di Kedah iaitu Pedu, Muda dan Ahning masih berada pada paras selesa dan cukup untuk menampung keperluan sumber pengairan untuk aktiviti tanaman padi musim 2/2023 di kawasan berkenaan.

Menurutnya, paras air di Empangan Pedu mencatatkan bacaan 73.17 peratus, Empangan Muda (83.04 peratus) dan Empangan Ahning (94.97 peratus).

“Musim panas dan kering yang melanda di Kedah tidak memberi kesan terhadap tanaman padi terutamanya di Kawasan Muda malah Mada akan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekiranya keadaan El-Nino ini berlarutan sepertimana ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia),” katanya pada Rabu.

Jelasnya, prestasi kemajuan tanaman padi Musim 2/2023 sehingga hari ini juga telah mencatatkan aktiviti tanam mencapai 99.3 peratus melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar.

Bagi peringkat pokok padi berbunga pula adalah sebanyak 66.8 peratus dengan keluasan 67,211 hektar, peringkat pokok padi masak sebanyak 21.7 peratus dengan keluasan 21,850 hektar manakala sebanyak 5.6 peratus iaitu seluas 5,590 hektar padi telah dituai di Kawasan Muda.

“Berdasarkan laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia mendapati Fenomena El-Nino atau cuaca kering yang sedang berlaku diramal berlarutan sehingga Jun 2024.

“Jumlah turunan hujan di Kawasan Muda merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12mm berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 47mm. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 yang dijangka selesai pada penghujung Mac 2024,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mada, bagi menghadapi musim cuaca kering, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan serta menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah.

Menurutnya, para peladang dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.