Bacaan IPU tidak sihat meningkat 10 kawasan

Sebanyak 10 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat, setakat jam 5 petang pada Ahad. - Infografik laman web APIMS
Sebanyak 10 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat, setakat jam 5 petang pada Ahad. - Infografik laman web APIMS
A
A
A

SHAH ALAM - Kualiti udara di Semenanjung Malaysia menerusi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat meningkat kepada 10 kawasan di enam negeri setakat jam 5 petang pada Ahad.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Larkin, Johor merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan 155, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (153); Bukit Rambai, Melaka (153) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (152).

Selain itu, Cheras, Kuala Lumpur (151); Batu Pahat, Johor (140); Banting, Selangor (129); Bandaraya Melaka, Melaka (129); Seberang Jaya Pulau Pinang (126) dan Segamat, Johor (109).

Dalam pada itu, sebanyak 48 stesen APIMS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala 10 stesen lagi mencatatkan bacaan baik iaitu di Sabah dan Sarawak.

Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web APIMS untuk mengetahui bacaan IPU terkini.

Pada Ahad, kualiti udara empat kawasan di dua negeri di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 10 pagi.

Artikel Berkaitan: