Blue lagoon bukan lokasi rekreasi, penceroboh boleh didakwa RM10,000

Blue lagoon Hutan Simpan Ayer Hitam, Taman Wawasan Puchong diceroboh bagi tujuan rekreasi.
Blue lagoon Hutan Simpan Ayer Hitam, Taman Wawasan Puchong diceroboh bagi tujuan rekreasi.
A
A
A

PUCHONG - Blue lagoon di Hutan Simpan Ayer Hitam, Taman Wawasan Puchong di sini dimiliki Universiti Putra Malaysia (UPM) dan digunakan untuk tujuan penyelidikan serta tidak dibuka sebagai lokasi rekreasi.

Bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, kawasan itu dahulunya hanya untuk aktiviti menyusuri hutan (jungle trekking) dan kini telah merebak ke aktiviti riadah lain termasuk terdapatnya trek motocross.

Menurutnya, penguatkuasaan lebih tegas perlu dilakukan untuk tujuan kawalan susulan status kawasan itu sebagai hutan simpan dan pernah berlaku kematian susulan bahagian kolam 'blue lagoon' yang dalam.

"Semasa bekerja di Pejabat Menteri Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, saya beri cadangan agar UPM menghadap dan mohon izin Tuanku Sultan Selangor untuk lanjutkan pajakan dan naik taraf Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong ini.

"Rentetan itu ia kini juga dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Centre (SISFEC).

"Namun kini khabarnya banyak kegiatan pencerobohan berlaku. Dulu hanya untuk trekking, kini trek motorcross pun ada," katanya menerusi perkongsian di aplikasi X.

Noor Amin dan Sze Han.
Noor Amin dan Sze Han.

Perkongsian tersebut susulan perkongsian seorang warga UPM, Qayyum Raub yang meluahkan kebimbangan mengenai pencerobohan di lokasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tak selamat dah blue lagoon kami. Punya besar papan tanda 'no entry', ada juga yang menceroboh.

"Siapa yang menceroboh boleh kena denda RM10,000.

"Tolonglah kesian dekat kami yang nak buat kajian dekat sekitar situ, " luahnya menerusi aplikasi X.

Susulan pendedahan itu, rata-rata pengguna media sosial memohon pihak berkuasa mengambil tindakan bagi memelihara sumber alam semula jadi itu daripada tercemar kesan aktiviti rekreasi tanpa kebenaran.

Seorang pengguna media sosial, Nawraa Yusoff berkata, pencerobohan itu berlaku susulan sikap segelintir masyarakat yang gemar menularkan lokasi unik di media sosial menarik orang ramai berpusu-pusu ke sana hingga mencemarkan alam.

Komen pengguna Foot Long pula berkata, tapak kajian itu memerlukan masa antara 30 hingga 50 tahun untuk kembali kepada asal dan berharap penceroboh dikenakan tindakan.

Ahmad Basyir Abd pula mencadangkan, pelaku didenda dan didakwa, kemudian hebahkan tindakan penguatkuasaan tersebut ke platform media sosial sebagai pengajaran kepada umum untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, pihaknya telah meminta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membuat tindakan susulan agar pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan segera.

"Kawasan ini memang kawasan larangan dan komuniti pendaki di sana telah banyak kali diberi amaran untuk tidak ceroboh ke kawasan hutan simpan.

"Hutan simpan digezetkan supaya ia terpelihara. Jika kerap diceroboh akan mengganggu persekitaran hutan simpan. Ia tidak lestari," katanya.