Isu tuntutan RM10,000, keluarga Hamid Gurkha luah rasa syukur

Allahyarham Hamid Gurkha
Allahyarham Hamid Gurkha
A
A
A

KELUARGA Allahyarham Hamid Gurkha meluahkan rasa syukur apabila isu tuntutan wang berjumlah RM10,000 yang sepatutnya diterima daripada Astro tahun lalu bakal berakhir dalam masa terdekat.

Anak ketujuh Allahyarham, Nor Azian Abdul Hamid berkata, wakil Astro yang dikenali sebagai Lala sudah menghubunginya pada Selasa dan memaklumkan pembayaran akan dibuat sebaik mendapat makluman daripada bahagian kewangan.

"Lala maklumkan pihak pengurusan termasuk penerbit dan pihak berkaitan telah berbincang dan meluluskan pembayaran itu. Cuma mereka perlu tunggu bahagian kewangan untuk memberikan tarikh.

"Bila dapat maklum balas positif seperti ini, saya rasa lega. Harap semuanya dapat diselesaikan secepat mungkin dan saya berterima kasih kepada semua pihak terutamanya media yang membantu memanjangkan isu ini," katanya kepada Sinar Harian.

Allahyarham Hamid sepatutnya menerima RM10,000 daripada Astro selepas diberikan Anugerah Sepanjang Zaman pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021).

Bagaimanapun, Allahyarham tidak sempat merasai wang itu selepas meninggal dunia pada 14 Jun tahun sama, iaitu kira-kira dua minggu selepas penganjuran anugerah terbabit.

Ditanya reaksi ibunya, Timah Abdul Hamid, sebaik mengetahui kes tuntutan ini bakal selesai, Azian berkata, ibunya hanya meluahkan rasa syukur.

"Dia kata kalau betul alhamdulillah, nanti boleh buat kenduri doa selamat dan dia bersyukur semuanya sudah selesai.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun kami bersyukur kerana Astro masih prihatin berkaitan isu ini," ujarnya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan mereka sekeluarga.

Sebelum ini, Ketua Saluran Astro Ria, Warna dan Prima, Norzeha Mohd Salleh memaklumkan isu tuntutan wang RM10,000 yang dibuat keluarga Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman, bakal selesai dalam masa terdekat.

“Astro akan melunaskan pembayaran Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era (AME) 2021 yang dianugerahkan kepada arwah Hamid Gurkha,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Norzeha memaklumkan pihaknya kesal atas kesulitan yang berlaku.